Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius terhadap penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) di institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pihaknya sudah mengambil langkah berterusan bagi memastikan kawalan dan pencegahan penyakit dilaksanakan secara berkesan di semua peringkat institusi pendidikan.
“KPM menegaskan beberapa tindakan perlu dipatuhi pihak institusi pendidikan bagi mengekang penularan jangkitan, antaranya menasihatkan warga institusi yang bergejala supaya segera mendapatkan rawatan perubatan.
“Murid bergejala yang tinggal di asrama perlu diasingkan di bilik sakit sementara menunggu ibu bapa atau penjaga menjemput mereka pulang, atau dibawa ke pusat perubatan berdekatan dengan kebenaran penjaga,”katanya dalam kenyataan.
Jelasnya murid yang bergejala dinasihatkan untuk berehat di rumah atau asrama dan mengelakkan tempat sesak.
Manakala bagi warga institusi pendidikan digalakkan memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam.
“Ini adalah bagi eningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan mkesihatan dalam kalangan warga institusi serta memberi kefahaman kepada ibu bapa dan penjaga mengenai peranan mereka dalam mencegah penularan ILI serta memantau kesihatan anak-anak,”katanya.
Beliau berkata, Surat Peringatan Berhubung Pemakluman Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI turut diedarkan kepada semua institusi pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada 6 Oktober lalu bagi memperkukuh pelaksanaan langkah kawalan di lapangan.
KPM turut menasihatkan semua warga pendidikan agar sentiasa memberi perhatian terhadap aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan di sekolah serta institusi masing-masing.
Tambahnya KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Kawalan Penyakit kini secara dekat penularan ILI bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan.
IMedikel TV






