Home Luar Negara IRAN DIDAKWA MINTA HOUTHI SIAP SEDIA TUTUP LALUAN LAUT MERAH

IRAN DIDAKWA MINTA HOUTHI SIAP SEDIA TUTUP LALUAN LAUT MERAH

33
0

DUBAI: Iran dilaporkan meminta kumpulan Houthi di Yaman bersiap sedia menutup laluan perkapalan minyak di Laut Merah sekiranya Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap infrastruktur tenaga negara itu.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, menurut dua sumber kanan Iran dan satu sumber serantau, cadangan itu dibincangkan dalam kalangan kepimpinan tertinggi Tehran sebelum disampaikan kepada sekutu mereka, Houthi.

Sumber mendakwa kumpulan itu baru-baru ini dimaklumkan mengenai permintaan berkenaan, namun butiran cara mesej itu disampaikan tidak didedahkan.

Sumber yang rapat dengan Houthi turut mendedahkan kumpulan itu sudah membuat persiapan dengan mengerahkan peluru berpandu dan dron berhampiran Selat Bab el-Mandeb bagi menyasarkan perkapalan.

Ancaman terhadap laluan strategik Laut Merah dan Selat Bab el-Mandeb berisiko menjejaskan bekalan tenaga global, terutama selepas Iran menutup Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan tenaga dunia.

Wakil Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran di Yaman dilaporkan akan menentukan masa sesuai untuk melaksanakan penutupan Selat Bab el-Mandeb.

Dalam perkembangan berkaitan, Houthi dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu ke Arab Saudi selepas menuduh negara itu menyerang sebuah lapangan terbang di bawah kawalan mereka pada 13 Julai lalu, sekali gus menamatkan gencatan senjata selama empat tahun.

Penganalisis Timur Tengah Verisk Maplecroft, Torbjorn Solvedt berkata, peningkatan konflik yang menjejaskan infrastruktur eksport Laut Merah boleh mengancam laluan alternatif utama eksport minyak dari rantau itu.

Bagaimanapun, Iran menafikan dakwaan membekalkan senjata dan dana kepada Houthi menerusi Hizbullah, manakala kumpulan berkenaan belum mengumumkan penyertaan rasmi dalam konflik itu. -Reuters, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here