TEHRAN: Konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali memuncak apabila kedua-dua pihak berbalas serangan, sekali gus meningkatkan ketegangan di Asia Barat.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, AS melancarkan serangan baharu ke atas Iran pada Khamis yang menyasarkan jambatan dan infrastruktur pengangkutan, manakala Tehran membalas dengan serangan terhadap sekutu AS di rantau Teluk.
Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan serangan itu bertujuan “mengurangkan lagi keupayaan ketenteraan Iran”, sekali gus menjadi malam keenam berturut-turut operasi ketenteraan AS.
Media kerajaan Iran melaporkan serangan menyasarkan dua jambatan, stesen kereta api dan lapangan terbang di wilayah selatan berhampiran Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan minyak dan gas global.
Tiga individu terbunuh dalam serangan ke atas jambatan di wilayah Hormozgan, menurut televisyen kerajaan Iran.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara AS di Jordan sebagai tindak balas terhadap serangan berhampiran hospital kanser kanak-kanak di Ahvaz.
Seorang penduduk Ahvaz, Hani, 34, menyifatkan serangan itu sangat kuat.
“Tangan saya menggeletar. Terdapat sekurang-kurangnya 11, 12 letupan. Telinga saya meletup,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kuwait melaporkan sistem pertahanannya bertindak memintas serangan peluru berpandu dan dron, manakala Bahrain mengaktifkan siren serangan udara.
Selat Hormuz yang dibuka semula selepas perjanjian AS-Iran pada Jun lalu, kini kembali berdepan ancaman penutupan selepas Tehran memberi amaran akan menutup laluan itu sehingga AS menghentikan serangan.
Kerajaan Iran memaklumkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh sejak serangan AS diperbaharui minggu lalu. -AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






