LONDON: Ipswich Town mengumumkan bahawa mereka menandatangani pemain pertahanan, Ben Godfrey, secara pinjaman dari kelab Serie A, Atalanta, untuk baki musim ini.
Pemain antarabangsa England berusia 26 tahun itu hanya beraksi sekali dalam perlawanan liga dan dua perlawanan Liga Juara-Juara untuk Atalanta sejak menyertai kelab berkenaan dari Everton pada musim panas lalu dengan yuran sekitar £10 juta (RM55 juta).
“Kami mahu menambah pemain di kawasan ini. Ben adalah pemain yang bagus dan berpengalaman. Itu akan memberikan dorongan besar untuk kami dalam separuh kedua musim ini,” kata pengurus Ipswich, Kieran McKenna.
Godfrey sebelum ini membuat 93 penampilan untuk Everton selepas menyertai kelab Merseyside itu pada 2020 dari Norwich City.
“Saya sangat gembira dapat berbincang dengan pengurus dan kini mendapat peluang untuk bekerja di bawah bimbingannya, sesuatu yang saya sangat teruja,” kata Godfrey.
“Saya menonton banyak perlawanan dari separuh pertama musim ini, dan dapat dilihat bahawa kumpulan ini sangat padu, penuh dengan pemain yang memberikan segala-galanya untuk mencapai matlamat mereka.”
Godfrey adalah pemain pertama yang disambar oleh Ipswich pada jendela perpindahan Januari, yang kini berada di kedudukan ke-18 selepas seri 2-2 dengan Fulham, meskipun mereka mencatatkan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur dan Chelsea dalam dua bulan lalu. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






