Home Buletin Semasa INSTITUSI PENDIDIKAN DIMINTA TINGKAT PERSEDIAAN HADAPI CUACA PANAS

INSTITUSI PENDIDIKAN DIMINTA TINGKAT PERSEDIAAN HADAPI CUACA PANAS

167
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta semua institusi pendidikannya meningkatkan persediaan serta melaksanakan langkah sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas apabila sesi persekolahan dibuka semula selepas Cuti Penggal 1.

KPM menerusi kenyataan memaklumkan antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah celsius, selain memantau aktiviti yang berisiko mendedahkan murid kepada cuaca panas.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta menggalakkan murid membawa air sendiri ke sekolah.

KPM turut menasihatkan murid supaya mengambil air dalam kuantiti mencukupi bagi mengawal suhu badan.

“Membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.

“Sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan dalam kalangan murid akibat cuaca panas”, menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPM turut menegaskan semua institusi pendidikan perlu peka terhadap situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“Pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas perlu diberi berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.

“KPM mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here