Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: IMedikel Pharma Holdings Berhad (IMPHB) menyediakan 1 unit peranti defibrillator luaran automatic (AED) bernilai RM12,000 untuk diletakkan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, bagi membantu mangsa serangan jantung.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azman Abdul Jalil, berkata penyerahan alat bantuan itu dapat menjadi sebuah peranti untuk membantu pesakit jantung bagi mendapat rawatan awal sebelum dibawa ke hospital.

“Penyerahan ini semata-mata untuk memberi satu khidmat sosial kepada masyarakat, alat ini adalah satu alat kecemasan. Sekiranya ada sesiapa yang kena serangan jantung maka alat ini dapat menyelamatkannya.
“Inshaallah dalam masa empat minit sebelum pesakit dibawa ke hospital untuk rawatan yang lebih lanjut jadi ini sebagai permulaan di Masjid Muhammadi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan alat bantuan jantung (AED) di Masjid Muhammadi, di sini, semalam.

Jelas beliau, pihaknya turut bekerjasama dengan Nano Medicare dalam usaha menyampaikan sesi latihan bagi penggunaan dan keperluan alat bantuan itu.
Sementara itu, Imam Tua Masjid Muhammadi, Khairul Azizi Mokhtar, 43, berkata, pihaknya amat teruja dengan adanya alat bantuan itu memandangkan setakat ini sudah dua orang meninggal dunia ketika solat akibat diserang sakit jantung.

“Rasa teruja sebab alat bantuan kecemasan ini dapat menjadi bantuan awal kepada kita semua untuk dijadikan back up sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
IMedikel TV






