Home Hiburan IDAM JADI HOS TV

IDAM JADI HOS TV

120
0

PENGACARA yang sebelum ini pernah mendapat jolokan Raja Emcee, Raja Rashtam, 31, mahu mengembangkan bakat ke pentas penyiaran televisyen.

Berpengalaman lebih sedekad mengacarakan pelbagai majlis korporat dan perkahwinan bertaraf VIP, Raja Rashtam berkata, dengan pengalaman yang ada memberi keyakinan buatnya mencuba nasib seterusnya memperluaskan kepakarannya itu.

“Saya mahu cuba menjadi pengacara televisyen. Hasrat ini bukan sahaja menunjukkan keberanian saya untuk keluar dari zon selesa, tetapi juga keazaman saya untuk terus berkembang dan memberi inspirasi kepada orang ramai.

“Semestinya bukan di program lawak atau hiburan kerana bukan kepakaran saya, tetapi saya mahu mengacarakan program berbentuk bual bicara yang serius. Sebagai contoh seperti Malaysia Hari Ini dan Wanita Hari Ini,” katanya pada majlis hari jadinya yang ke-31.

Tambah Raja, walaupun ramai pendatang baharu, beliau tahu dirinya mampu menggalas tanggungjawab baru apatah lagi dia seorang yang sangat menitikberatkan soal ‘research’ dan teratur dalam menguruskan kerja seni.

Mengidolakan pengacara popular Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman, Raja turut berharap menerusi pengacaraan televisyen dia dapat memberi ilmu kepada penonton.

“Saya suka mengupas isu atau topik yang memerlukan saya membuat kajian, kemudian ada panel yang mengulas juga. Secara tidak langsung saya dapat memberi ilmu kepada penonton. Alangkah seronoknya jika peluang itu (mengacara TV) benar-benar dapat dicapai,” katanya.

Sementara itu, majlis hari lahir Raja begitu meriah kerana ia bukan sekadar menyambut hari jadi, tetapi juga meraikan pencapaian luar biasa beliau dalam bidang pengacaraan sepanjang tahun lalu.

Menurut Raja, dia tidak menyangka rezeki yang datang sepanjang tahun lalu lebih empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya dan kerana itu dirinya mahu meraikan pencapaian berkenaan bersama klien, rakan-rakan serta keluarga rapat.

“Alhamdulillah dengan rezeki yang diberi. Semua kejayaan ini tidak akan berlaku tanpa sokongan klien, rakan-rakan, keluarga dan pekerja saya. Sebab itu setiap kali hari jadi saya, mereka juga perlu diraikan.

“Tetapi, untuk sampai ke tahap ini pun bukan mudah. Saya mula menapak pada usia 20 tahun dan ketika itu saya mencari identiti sendiri dalam bidang pengacaraan.

“Cabaran demi cabaran ditempuh, termasuk menukar pakaian di masjid dan surau serta menaiki bas dengan berpakaian rasmi untuk ke majlis. Pengorbanan terbabit akhirnya berbaloi apabila berjaya mendapatkan tempat apatah lagi dalam kalangan VIP dalam masa tujuh tahun,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here