Johor Bharu, JOHOR: Suami isteri yang dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengekalkan pengakuan tidak bersalah dalam pendakwaan semula atas pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
Pasangan terbabit membuat pengakuan itu di hadapan Hakim VM Mabel Sheela atas pertuduhan bertindak cuai terhadap anak lelaki mereka berusia empat tahun yang dilakukan dua bulan lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, S Nagendran, 23, yang juga bapa tiri kanak-kanak itu dan ibu mangsa, A Sangeetha, 23, yang sedang hamil tiga bulan didakwa, mencapai niat bersama bertindak secara cuai terhadap mangsa yang dijaga mereka dengan cara mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka dekat Skudai Villa Apartment, Jalan Aman, Taman Skudai Baru di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 28 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya, manakala pangsan suami isteri itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan kedua tertuduh dijamin RM7,000 setiap seorang, selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 9 Julai depan.
Semalam, suami isteri itu dilepaskan tanpa dibebaskan apabila pihak pendakwaan gagal mempertahankan pertuduhan pindaan selepas pasangan itu menukar pengakuan kepada mengaku tidak bersalah.
Pada 3 Mei lalu, mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mencapai niat bersama menganiayai kanak-kanak yang dijaga mereka dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Sumber BH Online
Imedikel TV






