KOTA BHARU: Ramadan kali ini menjadi cabaran emosi kepada ibu bapa yang pertama kali berjauhan dengan anak mereka yang baru sahaja memasuki asrama.
Bukan itu sahaja, anak mereka juga terpaksa berdikari tanpa pemantauan daripada ibu bapa demi sebuah ilmu dan cita-cita.
Bagi Nik Nurol Akma Nik Muhammad, 39, dari Bachok berkata tidak dinafikan perasaan bimbang bercampur rindu itu ada memandangkan anaknya, Aisy Khalish Mohd Shukri, 13, adalah anak sulung.
“Sebelum ini kalau di rumah, saya yang kejutkan anak sahur. Agak susah sedikit Aisy bangun tetapi tidak mengapa sebab ada di depan mata.
“Namun, ini adalah pertama kali kami berjauhan, ada kelainan sedikit, namun saya berharap Aisy dapat menyesuaikan diri dengan cepat di asrama bersama kawan-kawan baru,”katanya kepada pemberita.
NuroI Akma juga ibu kepada lima anak ini, berkata dia sudah bekalkan beberapa jenis makanan untuk bekalan puasa dan sahur anaknya yang kini belajar di Sekolah Menengah Sains Gua Musang.
“Minggu lepas Aisy balik ke rumah dengan keretapi bersama rakan-rakan. Itu sudah menjadi pengalaman baru untuknya.
“Sebelum Aisy balik ke asrama, saya bekalkan Aisy kismis, kurma, Nestum 3 in 1, biskut dan susu segar. Saya juga berharap Aisy dapat menjaga kesihatan yang baik sepanjang bulan puasa ini,”katanya.
Manakala bapa kepada tiga anak, Muhammad Hafiz Che Alim, 44, dari Kota Bharu, berkata anak sulungnya, Nur Fitrah Hannani, juga bersekolah di Sekolah Menengah Sains Gua Musang biasanya menikmati juadah berasaskan makanan barat.
“Nur Fitrah memang suka sangat makanan barat. Jadi saya berpesan kepada dia untuk menerima suasana baru di asrama, kena banyak belajar dari pelbagai sudut.
“Maksudnya tidak semua benda yang kita inginkan dapat. Kena pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran di asrama, makan apa sahaja hidangan yang disajikan di kantin atau dewan makan, kurangkan memilih makanan yang kita suka,”katanya.
Muhammad Hafiz berkata sebagai bapa dia juga risau jika anak sulungnya itu sukar untuk menyesuaikan diri, namun dia memilih untuk berdamai dengan takdir.
“Ibu bapa mana yang tidak risau apabila berjauhan dengan anak terutamanya anak sulung perempuan. Jauh pula di sekolah sana yang mengambil masa hampir tiga jam untuk ke sana.
“Jadi, kami bekalkan sambal daging, kicap, makanan ringan, dan disebabkan dia suka sangat masakan barat, kami bekalkan sos lada hitam (black pepper sauce) untuk dia makan di asrama,”katanya.
Bagaimanapun diharap Ramadan kali ini pasti menjadi pengalaman berharga buat pelajar asrama yang pertama kali berpuasa jauh daripada keluarga, namun dengan sokongan yang betul, mereka mampu menghadapinya dengan baik.