BIRMINGHAM: Tonggak Aston Villa, Jacob Ramsey meledak gol pertama diawal permainan manakala Morgan Rogers menambah jaringan di babak kedua untuk menyingkirkan Tottenham Hotspur 2-1 pada pusingan keempat Piala FA.
Kejayaan mara ke pusingan kelima Piala FA itu adalah yang pertama buat Aston Villa dalam tempoh 10 tahun.
Anak didik Unai Emery hanya memerlukan 58 saat untuk meraih gol pertama apabila Rogers dengan mudah mara dan menghantar bola kepada Ramsey.
Tonggak berusia 23 tahun itu kemudiannya melepaskan rembatan ke arah Antonin Kinsky yang gagal menghalang percubaan itu.
Rogers menambah jaringan pada minit ke-64 apabila Pedro Porro gagal mengeluarkan hantaran lintang Leon Bailey.
Pemain pinjaman dari Manchester United, Marcus Rashford, yang tidak beraksi sejak 12 Disember, dimasukkan selepas gol kedua Villa.
Pemain baharu Spurs, Mathys Tel dari Bayern Munich merapatkan jurang pada minit ke-91 hasil hantaran Dejan Kulusevski, tetapi tuan rumah bertahan untuk memastikan kemenangan.
Kekalahan itu menyaksikan peluang Tottenham menamatkan kemarau kejuaraan hanyalah dalam saingan Liga Europa musim ini, selepas turut tersingkir di tangan Liverpool dalam saingan Piala Liga.
Spurs yang menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, enam anak tangga dan 10 mata di belakang Villa, mensia-siakan beberapa peluang di Villa Park. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






