Home Hiburan HORMAT ANTARA SATU SAMA LAIN ASAS PENTING KELUARGA HARMONI – AIMAN HAKIM

HORMAT ANTARA SATU SAMA LAIN ASAS PENTING KELUARGA HARMONI – AIMAN HAKIM

199
0

PETALING JAYA: Pelakon Aiman Hakim menyifatkan nilai hormat antara satu sama lain sebagai asas penting dalam memastikan hubungan kekeluargaan harmoni.

Memetik laporan Berita Harian, Aiman atau nama penuh, Aiman Hakim Ridza Abdoh, 37, berkata, setiap keluarga pasti berdepan cabaran tersendiri, namun, apa yang berbeza adalah cara pasangan suami isteri menguruskan situasi.

“Bagi saya, masalah rumah tangga semua orang pun rasa benda yang sama. Kami ini sama sahaja seperti keluarga lain. Tetapi, cara kami sangat mudah untuk kekalkan keharmonian dalam hubungan kekeluargaan itu.

“Kami saling menghormati antara satu sama lain termasuk anak-anak. Kami layan anak-anak seperti orang dewasa yang ada pandangan sendiri.

“Jadi, kalau kita boleh hormat mereka, mereka juga akan hormat kita. Pada akhirnya nanti, menghormati antara satu sama lain itu sangat penting,” katanya ketika ditemui pada set penggambaran drama Flat Simpang Satu di sini, baru-baru ini.

Bintang filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu turut berpendapat hubungan kekeluargaan akan menjadi lebih erat apabila dibina atas dasar kerentanan dan kejujuran.

“Jadi, apabila mereka sudah besar, sudah tidak ada jurang antara kami. Kita boleh sangat terbuka untuk berkongsi pendapat dan perasaan.

“Macam kalau anak saya tidak setuju dengan sesuatu, dia akan terangkan kenapa. Begitu juga saya. Jadi, bila kerentanan itu terbuka dalam keluarga, komunikasi jadi lebih mudah.

“Jadi, kami percaya dalam sesebuah keluarga perlu sentiasa berbincang dan berkomunikasi dengan jujur. Kita ikut sahaja bagaimana Nabi mengajar kita melayan anak-anak. Insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja,” ujarnya.

Mengulas mengenai komen netizen sama ada positif atau negatif, Aiman mengakui dia tidak membaca semua komen yang ditinggalkan demi menjaga prinsip diri sendiri.

“Saya tidak baca semua komen dalam mana-mana media sosial. Bagi saya, bila kita terlalu banyak membaca pendapat atau pemikiran orang lain, kita boleh terlupa pendapat sendiri. Komen itu sebenarnya tidak berguna pun.

“Media sosial ini ibarat ‘bandar koboi’, tiada undang-undang. Semua orang boleh cakap apa sahaja. Apabila terlalu banyak dengar suara luar, kita boleh hilang fokus terhadap matlamat diri. Bagi saya itu sangat penting,” katanya.

Aiman berkata, tindakan itu juga adalah salah satu cara menjaga kesihatan mental, lebih-lebih lagi dalam era kini yang hampir seluruh aspek kehidupan dipengaruhi media sosial.

“Kita kena ada keyakinan terhadap matlamat hidup. Kadang-kadang pandangan kita hari ini mungkin salah, tapi minggu depan, mungkin betul. Jadi, penting untuk percaya pada apa yang kita percaya.

“Kalau baca benda positif, memang kita suka. Itu naluri manusia, bukan. Tapi apabila terlalu suka, kita rasa seolah-olah kita berhak terhadap pujian itu. Ada sifat yang bangga yang berlebihan dalam diri. Jadi, itu pun tidak sihat.

“Apa yang negatif pula memang tidak ada manfaat. Jadi, penting untuk kita tahu apa kebahagiaan sendiri. Untuk kekal gembira, kadang-kadang memang perlu jauhkan diri daripada media sosial atau hadkan penggunaannya,” katanya.

Aiman berkahwin dengan pelakon, Zahirah MacWilson pada 20 Februari 2020. Mereka dikurniakan dua anak, iaitu Isaac Raees dan Inara Raisa. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here