LONDON: Dillian Whyte percaya Anthony Joshua perlu segera mengatur perlawanan semula menentang Daniel Dubois selepas kekalahan memalukannya September lalu.
Joshua jatuh tiga kali dalam kekalahan mengejut kepada lawan dari Britain, Dubois di Stadium Wembley pada September, memberi tamparan besar dalam kariernya untuk kembali merebut gelaran dunia.
AJ yang berada di penghujung kariernya dijangka berdepan Dubois dalam perlawanan ulangan tahun ini yang turut didorong dengan keinginannya untuk membalas dendam.
Namun pertarungan itu gagal terlaksana dan kini bekas juara dunia kali itu sedang menunggu dan meneliti calon yang sesuai untuk ditentang tahun ini.
Jaguh heavyweight Britain itu menunggu untuk melihat sama ada dia boleh berdepan Tyson Fury untuk perlawanan besar tahun ini, tetapi ‘Gypsy King’ baru-baru ini mengumumkan persaraannya.
Whyte memberitahu Sky Sports: “Dia membuat kesilapan besar kerana tidak mengatur perlawanan ulangan dengan Dubois.
“Ia adalah perlawanan gelaran dunia, bayaran yang besar dan peluang yang sempurna. Dia selama-lamanya akan dihantui dengan kekalahan memalukan di Wembley kepada Dubois.
“Apabila saya tewas kepada (Alexander) Povetkin, saya menunggu temu bual langsung dengan Eddie Hearn dan menuntut perlawanan semula.
“Itu yang sepatutnya dia lakukan untuk mengembalikan semula maruahnya yang tercalar.” – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






