KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menyifatkan barisan pemain Harimau Malaya memerlukan proses pemulihan termasuk dari segi emosi selepas skuad negara terlepas tiket ke Piala Asia 2027.
Pengendali dari Australia itu menyuarakan perkara berkenaan ketika ditanya pemberita apa seterusnya buat Harimau Malaya selepas menutup kempen kelayakan dalam Kumpulan F dengan kekalahan 1-3 kepada Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, kelmarin.
Pemain Harimau Malaya berdepan detik menyedihkan apabila impian ke Piala Asia di Arab Saudi tahun depan terkubur meskipun merekodkan prestasi yang baik sepanjang kempen kelayakan dalam Kumpulan F.
Namun, hukuman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain meranapkan impian skuad negara ke Arab Saudi.
Keputusan itu sudah pasti memberi kesan terhadap pemain yang sebelum ini berjuang habis-habisan dalam kempen kelayakan sebelum akhirnya terpaksa melupakan Piala Asia 2027 kerana hukuman di luar padang.
“Apa yang seterusnya adalah pemain berhak untuk pulih. Saya berasa ada sedikit proses pemulihan emosi yang perlu dilalui kerana situasi ini sangat unik dalam kerjaya sesiapa pun.
“Anda tahu, ada rasa kecewa dalam kem, ada kekecewaan kerana mata dirampas. Mereka adalah manusia, mereka pemain tetapi mereka juga insan biasa. Perlu ada proses untuk bangkit semula daripada kekecewaan.
“Kami menjalani kem yang sangat baik, luar biasa. Mentaliti skuad dan cara latihan kami amat bagus. Sekarang masa untuk pemulihan, pemain kembali ke kelab masing-masing dan kemudian fokus kepada apa yang seterusnya sebagai pasukan kebangsaan,” kata Cklamovski.
Malaysia menutup kempen kelayakan dalam Kumpulan F di tangga kedua dengan mengumpul sembilan mata selepas hilang enam mata susulan kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam sebelum ini dibatalkan AFC.
Vietnam muncul juara dengan mengumpul 18 mata maksimum daripada enam perlawanan selepas diberikan kemenangan 3-0 ke atas Malaysia oleh AFC yang mana keputusan asal perlawanan ini adalah mereka tewas 0-4 kepada Harimau Malaya. – BH Online –
IMedikel TV






