Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai depan menerusi pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel menggunakan mekanisme pengesahan berasaskan MyKad.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika menghadiri satu program di Bintulu, Sarawak, hari ini.
Menurut Kementerian Kewangan, pembaharuan tersebut akan menyeragamkan pelaksanaan subsidi diesel di seluruh negara, selaras dengan pendekatan yang telah diperkenalkan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Melalui sistem baharu itu, rakyat Malaysia akan menikmati harga diesel bersubsidi yang sama serta kaedah pembelian yang seragam di semua negeri.
“Subsidi akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan individu yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,”menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan memaklumkan langkah itu diambil ketika krisis di Asia Barat terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, sekali gus menuntut pendekatan lebih berkesan bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran.
Menurut kementerian itu, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga pasaran telah mewujudkan ruang kepada aktiviti ketirisan serta penyeludupan bahan api, termasuk ke luar negara.
“Ketika ini, diesel dijual pada harga bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, manakala harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia adalah RM4.37 seliter.
“Menerusi penyasaran subsidi yang baharu, harga diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan sistem yang digunakan di Semenanjung Malaysia.
“Langkah itu juga bermakna bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi diesel kerajaan,”jelas kenyataan itu.
Pada masa sama, pemilik kenderaan diesel dalam kalangan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan menikmati pengurangan harga daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
Kementerian Kewangan berkata maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan esok.
Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh pengurusan subsidi negara, mengurangkan ketirisan serta memastikan manfaat subsidi dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia yang layak.
IMedikel TV






