BAITULMAQDIS: Kumpulan Pejuang Hamas mendakwa, pasukannya berjaya memusnahkan 160 kenderaan berperisai tentera Israel di Semenanjung Gaza, sejak operasi Darat Rejim Zionis, 27 Oktober lalu.
Jurucakap Briged Al-Qassam Abu Ubaidah berkata, ia termasuk 25 kenderaan dalam tempoh 48 jam yang lalu.
Menurut laporan Agensi menerusi Harian Metro, katanya, pertempuran antara pejuang Palestin dan tentera Israel tidak simetri, namun masih menakutkan tentera Israel yang menyifatkan Hamas sebagai tentera terkuat di rantau ini.
Menurutnya pejuang mereka keluar dari bawah tanah ke atas dan dari bawah runtuhan untuk memusnahkan kenderaan berperisai dan kereta kebal.
Dalam satu video yang dikeluarkan Briged Al-Qassam, pejuang Hamas memusnahkan kereta kebal Israel di Gaza Utara.
Sejak Hamas melancarkan operasi Taufan Al-Aqsa, Israel membalas dendam dengan melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas semenanjung Gaza.
Lebih kejam, Israel turut menyasarkan kawasan orang awam termasuk kediaman, hospital dan rumah ibadat serta melumpuhkan prasarana penting seperti telekomunikasi, air dan elektrik.
Berdasarkan data rasmi kementerian kesihatan, sekurang-kurangnya 11,078 rakyat Palestin terbunuh termasuk 4,506 kanak-kanak dan 3,027 wanita. Selain itu, angka kematian di Israel pula dilaporkan kira-kira 1,200 mangsa. -AGENSI, HMETRO ONLINE-
IMEDIKEL TV






