Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang guru silat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas empat pertuduhan melakukan amang terhadap tiga murid lelaki berusia 15 dan 17 tahun di hotel dan rumah inap di Kota Bharu dan Bachok pada Januari hingga Februari lalu.
Tertuduh, Faizul Yusoff, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama bagi kes pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Kampung Semut Api Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini pada pukul 9 malam, 13 Februari lepas.
Pertuduhan kedua bagi kes sama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama, di lokasi sama pada pukul 3 pagi, keesokannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 Akta sama, yang memperuntukkan penjara selama tidak melebihi 20 tahun dan disebat, jika sabit kesalahan.
Bagi kes kedua, mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak dengan maksud seksual terhadap mangsa berusia 17 tahun tiga bulan di rumah inap di Kampung Talang Kadok, di sini pada pukul 1 pagi, 13 November (pindaan) 2023.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 Akta sama, yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi kes ketiga, mengikut pertuduhan Faizul didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 17 tahun satu bulan di salah sebuah rumah inap di Kubang Golok, Bachok pada pukul 3 pagi, 28 Januari lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK), Nur Alyaa Mohd Zain.
Terdahulu Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes adalah serius.
Nur Alyaa memohon pengurangan jamin dengan mengambil kira anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap kerana hanya bekerja sebagai guru silat, sudah berkeluarga dan mempunyai lima anak, yang mana dua anaknya berusia 15 dan 19 tahun masih bersekolah.
“Memandangkan ketiga-tiga mangsa tinggal berjauhan dengan tertuduh iaitu di Wakaf Che Yeh dan Pasir Puteh, saya percaya tertuduh tidak akan mengganggu mereka, malah tertuduh juga menghidap minor strok dan kini dalam proses pemulihan dan perlu rawatan,” katanya.
Bagaimanapun Kamarul Hasyime membantah permohonan pengurangan jaminan kerana keempat-empat pertuduhan adalah di bawah Seksyen 14 (a) iaitu kesalahan serius, namun jika dibenarkan jaminan, cadangan RM20,000 bagi setiap kes.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM10,000 seorang bagi setiap kes dengan seorang penjamin dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes pada 27 Julai depan.
IMedikel TV






