Home Luar Negara 78 TERBUNUH DALAM SERANGAN ISRAEL, TRUMP DAKWA RUNDINGAN GAZA CAPAI KEMAJUAN BESAR

78 TERBUNUH DALAM SERANGAN ISRAEL, TRUMP DAKWA RUNDINGAN GAZA CAPAI KEMAJUAN BESAR

GAZA: Sekurang-kurangnya 78 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak semalam di Semenanjung Gaza, termasuk 14 individu yang sedang menunggu bantuan berhampiran pusat pengagihan, menurut sumber perubatan.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita harian, serangan itu berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa terdapat kemajuan besar ke arah menamatkan perang.

Sumber di Hospital Al-Awda dan Hospital Al-Aqsa Martyrs di Gaza memaklumkan kepada Al Jazeera bahawa sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat tembakan Israel awal pagi semalam ketika menunggu bantuan berhampiran Persimpangan Netzarim di Gaza tengah.

Kematian berkenaan yang terbaharu dicatatkan dalam siri keganasan berhampiran pusat pengagihan bantuan yang ditubuhkan hujung bulan lalu oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah entiti yang disokong Israel dan AS, namun dikritik hebat oleh banyak pihak sebagai ‘pusat penyembelihan manusia’ dan ‘perangkap maut’.

GHF menerima kecaman hebat daripada agensi bantuan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bahawa kumpulan itu tidak mampu memenuhi keperluan penduduk serta menjadikan makanan sebagai senjata untuk Israel melaksanakan operasi tenteranya.

Menurut wartawan Al Jazeera di Bandar Gaza, Hani Mahmoud, pusat bantuan yang dikendalikan GHF kebiasaannya didirikan begitu hampir dengan kedudukan tentera Israel, termasuk kereta kebal, kenderaan berperisai dan penembak tepat.

“Apabila orang ramai berkumpul dalam jumlah besar, mereka terdedah kepada tembakan Israel.

“Lebih membimbangkan, orang ramai hanya diberi masa selama 20 minit di pusat bantuan untuk mendapatkan apa saja yang ada seperti bungkusan makanan.

“Selepas tempoh itu berakhir, tembakan akan bermula. Itulah antara sebab utama kenapa ramai terbunuh di pusat bantuan berkenaan,” katanya.

Tekanan terhadap GHF semakin meningkat sejak ia dibawa masuk ke wilayah Palestin pada akhir Mei lalu, namun organisasi itu menafikan sebarang tanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Israel pula menyatakan bahawa insiden tembakan berhampiran lokasi bantuan GHF sebelum ini berpunca daripada tindakan suspek yang menghampiri tentera mereka.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza menyatakan keadaan kesihatan dan kemanusiaan di wilayah terkepung itu sudah mencapai tahap yang amat kritikal, berikutan sekatan ketat Israel yang menghalang bekalan perubatan penting daripada sampai kepada mereka yang amat memerlukannya. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here