LONDON: Bekas pelumba MotoGP, Aleix Espargaro mungkin sudah ‘menggantung sut perlumbaan’ tahun lalu, namun pada usia 35 tahun, legenda Sepanyol itu kembali mencuri perhatian apabila menggalas dua peranan dalam masa singkat apabila dijadual kembali ke litar MotoGP hujung minggu ini sebelum membuat penampilan sulung sebagai pelumba basikal profesional di Tour of Austria, 10 hari kemudian.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Espargaro sebelum ini mengumumkan persaraan selepas dua dekad dalam kejuaraan Grand Prix, namun enggan duduk diam.
Awal tahun ini, dia menyertai pasukan berbasikal profesional Lidl-Trek sebagai duta dan dalam masa sama menjalankan tugas sebagai pelumba ujian untuk Honda.
Kini, Espargaro akan mengisi kekosongan ditinggalkan Luca Marini yang masih cedera, apabila beraksi bersama pasukan pengilang Honda dalam Grand Prix Belanda hujung minggu ini di Assen.
“Saya sangat gembira dapat membantu Honda dan menyertai pasukan pengilang di Assen. Ramai pelumba impikan peluang seperti ini.
“Walaupun sementara, peluang ini satu kejutan menggembirakan. Saya ada banyak kenangan indah di Assen, dan tak sabar untuk lihat apa yang boleh dilakukan dengan jentera Honda,” katanya dalam satu kenyataan.
Kemunculan di Assen adalah penampilan ketiga Espargaro musim ini selepas menyertai dua perlumbaan wildcard di Sepanyol dan Britain.
Namun, cabaran sebenar hadir selepas itu apabila beliau akan menyertai perlumbaan basikal Tour of Austria dari 9 hingga 13 Julai, mewakili pasukan pembangunan Lidl-Trek Future Racing.
Minat Espargaro terhadap berbasikal bukan perkara baharu. Dia mula berbasikal sebagai sebahagian daripada rutin kecergasan dan pemulihan kecederaan, sebelum membentuk persahabatan rapat dengan pelumba profesional dan menyertai kem latihan bersama pasukan Lidl-Trek.
“Dalam enam bulan terakhir, saya banyak belajar sebagai pelumba basikal. Fizikal saya rasa baik dan saya tak sabar untuk berlumba, menguji kekuatan kaki bersama pelumba terbaik dunia,” katanya. Ia satu cabaran besar, tapi saya tidak meletakkan sebarang jangkaan untuk debut ini.”
Walaupun hanya bergelar pelumba jemputan di litar MotoGP dan masih mentah dalam dunia kayuhan kompetitif, semangat Espargaro membuktikan usia bukan penghalang untuk terus mencabar diri sama ada di atas pelantar minyak atau pedal karbon. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






