Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pasangan warga emas yang direman berhubung kes kematian penuntut kolej wanita dengan 61 kesan tikaman, Jumaat lalu, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan kini ditumpu kepada dua remaja yang berusia 19 tahun.
“Pasangan itu dibebaskan semalam, sehari sebelum tempoh reman tamat hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, warga emas itu adalah ibu bapa kepada salah seorang suspek berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, pasangan warga emas itu ditahan reman selama tiga hari berakhir Isnin, manakala dua remaja lelaki direman selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat seorang wanita ditemui di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, pada 12.30 tengah malam Jumaat dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
IMedikel TV






