Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
PASIR MAS: Anak-anak Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi yang masih bersekolah diberi khidmat psikososial secara berterusan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata, kementeriannya sudah menyediakan komitmen dan memberi sokongan psikososial kepada keluarga berkenaan.
“Kita harap kaunseling ini diberi secara berterusan dan dari aspek itu saya minta Ketua Pengarah melihat sama ada keperluan untuk menyokong khususnya anak yang masih bersekolah.
“Saya merakamkan takziah dan pada kesempatan ini kita telah sampaikan sumbangan bagi memberi sokongan kepada keluarga dengan melihat keperluan daripada beberapa aspek termasuk sumbangan dari Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Istiqomah di kediaman di Kampung Kubang Badak, di sini, hari ini.
Beliau berkata selain sumbangan YGTHO, pihaknya juga turut melihat keperluan-keperluan lain termasuk pemberian pencen dan khidmat kaunseling untuk keluarga serta kebajikan untuk anak-anak Allahyarham.
Jelasnya, sumbangan kebajikan itu turut diberikan kepada anak yang masih bersekolah.
“Sesungguhnya kejadian ini memberi kesan yang menyayat hati apatah lagi Cikgu Istiqomah adalah seorang guru yang sangat berdedikasi dalam tugas serta memberi komitmen sepenuhnya sebagai pendidik.
“Allahyarham sudah lama berkhidmat sebagai pendidik di sekolah rendah di Johor dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT). Beliau seorang yang komited dengan kerjanya,” katanya.
IMedikel TV






