KUALA LUMPUR: Selepas membuat pertimbangan, Erma Fatima sedia kembali ke kerusi pengarah dengan filem berunsur Islamik.
Memetik laporan Berita Harian, Erma berkata, karya baharunya itu akan membawa isu besar mengenai Islam dan memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak.
“Saya sudah lama ‘break’ dan tidak mengarah filem. Saya bawa hati dan merajuk, kononnya… Tidak tahu apa yang dirajuk. Tetapi, sekarang, saya sedang membuat persiapan untuk menghasilkan filem.
“Insya-Allah, tahun depan mula penggambaran. Filem yang saya akan buat ini adalah filem Islamik yang patuh syariah… Betul-betul patuh syariah,” katanya ketika pada sidang media Anugerah OhBulan! Paling Viral Online di Balai Berita di sini, Jumaat lalu.
Erma bagaimanapun tidak mahu berkongsi nama pelakon utama filem berkenaan kerana proses produksi masih pada peringkat awal.
“Sekarang baru lepas proses pemilihan pelakon. Tidak mahulah sebut pelakon utamanya sekarang. Namun, mereka yang akan jadi pelakon pembantu adalah Eman Manan, Umie Aida, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Vanida Imran.
“Ini adalah pelakon yang akan menjayakan watak ayah dan ibu kepada hero dan heroin,” katanya.
Erma juga tidak bercadang untuk menampilkan pelakon baharu bagi filem terbabit kerana kekangan masa selain keperluan mendapatkan teraju berpengalaman yang mampu memahami kehendak naskhah.
“Saya sudah lama berehat daripada mengarah filem. Jadi, apabila saya hendak buat ‘comeback’, saya harus pastikan dapat pelakon yang hebat. Ini supaya mereka bersedia untuk masuk set penggambaran dan tahu apa yang mereka lakukan.
“Waktu tidak cukup untuk saya latih pelakon. Tetapi, kalau saya ada pelakon baharu, bukan hendak kata mereka tidak bagus, tetapi saya perlukan masa untuk ‘training’. Jadi, kalau dia gagal, dia akan rosakkan impian saya.
“Filem ini adalah sesuatu yang sangat besar untuk saya. Isunya berat dan besar yang bersangkut paut dengan Islam,” katanya.
Erma juga berkongsi membuat persiapan untuk menghasilkan musim kedua drama bersiri Bidaah an akan memulakan penggambaran sekarang.
“Semua pelakon sama terbabit, tetapi ada teraju tambahan, Aqasha dan seorang pelakon Indonesia, Olla Ramlan.
“Kalau ikut saya, saya hendak ambil pelakon Indonesia, Tetapi, kita kena faham mengenai beberapa isu sensitif di sana,” katanya.
Mengulas kemenangan drama Keluarga Itu menerusi kategori Drama Paling Viral pada Anugerah OhBulan! Paling Viral Online, Erma bersyukur atas sokongan yang diberi terhadap karyanhya.
“Sebenarnya, saya jangka Bidaah yang akan menang. Drama ini yang lebih fenomena sampai ke Indonesia. Tapi mungkin yang mengundi kebanyakannya orang Malaysia, bukan Indonesia.
“Keluarga Itu dan Bidaah ditayangkan pada waktu yang sama dan kedua-duanya tular. Apa yang mampu saya katakan adalah Keluarga Itu adalah salah satu drama yang teruk dikecam kerana membangkitkan isu bapa memperkosa anak, sedangkan itu adalah realiti di luar sana.
“Alhamdulillah, hari ini bukan kemenangan daripada juri, tetapi penonton sendiri. Itu menunjukkan bahawa mereka faham apa yang cuba kita perjuangkan dalam drama itu,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






