Home Buletin Semasa DISKAUN  50 PERATUS MANFAAT PENGGUNA TOL SEMPENA KRISMAS

DISKAUN  50 PERATUS MANFAAT PENGGUNA TOL SEMPENA KRISMAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada pengguna kenderaan persendirian selama dua hari bermula esok hingga 24 Disember ini, bersempena sambutan Hari Krismas yang akan diraikan pada Khamis ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata inisiatif itu selaras dengan semangat perpaduan Malaysia MADANI serta komitmen Kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah.

Menurutnya, diskaun tol berkenaan membabitkan kenderaan Kelas 1 (serta Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol, kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).

“Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat susulan pemberian diskaun ini,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Beliau berkata, langkah berkenaan diharap dapat membantu pengguna lebuh raya yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat keluarga sempena Hari Krismas, selain mereka yang bercuti bersama keluarga sepanjang cuti sekolah.

Tambahnya, pemilihan tarikh diskaun tersebut juga adalah sebahagian daripada inisiatif penyuraian trafik, khususnya pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali ke bandar, sekali gus mengoptimumkan pengoperasian lebuh raya termasuk kawasan Hentian Sebelah (Lay-By) dan Rehat dan Rawat (R&R).

“Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menyarankan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih teratur melalui Aplikasi Navigasi Lebuh Raya TuJu LLM dan MyPLUS-TTA, selain mematuhi Travel Time Advisory (TTA) yang disyorkan bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selesa.

“Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda serta peraturan jalan raya yang ditetapkan,”katanya.

Dalam pada itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @LLMtrafik dan TikTok @llmtrafik, selain menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

Menurutnya pihak kementerian menyeru semua pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhemah, berehat sekiranya keletihan atau mengantuk, serta bersama-sama memastikan lebuh raya negara kekal selamat, bersih dan selesa, di samping mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here