Home Hiburan ERMA FATIMA ABAIKAN KOMEN NETIZEN SETIAP KALI DRAMA DISIARKAN

ERMA FATIMA ABAIKAN KOMEN NETIZEN SETIAP KALI DRAMA DISIARKAN

102
0

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima mengakui tidak membaca komen serta kritikan netizen di media sosial setiap kali drama terbitan produksinya ditayangkan.

Memetik laporan Berita Harian, Erma berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan dirinya terpengaruh dengan kecaman yang boleh mematahkan semangat untuk terus menghasilkan karya.

Mengulas babak berkemban dalam drama terbaharunya, Walid yang diperkatakan ramai dan dianggap tidak sesuai ditayangkan pada Ramadan, Erma bagaimanapun berharap penonton menilai sesuatu babak dari sudut positif, bukannya terus melemparkan kecaman.

“Mereka yang komen itu adakah penulis skrip atau pengarah sehingga suka-suka mahu menentukan babak apa yang patut ada atau tidak ada?

“Kalau hendak bercakap mengenai babak yang tidak patut ada dalam drama, banyak sahaja dalam drama terbitan produksi lain, bukan hanya dalam drama Walid.

“Asyik hendak mencari yang buruk sahaja. Kalau mahu jadi ‘mata lalat’, memang anda akan jumpa. Tetapi cuba lihat dari sudut positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather and Iftar di sini, baru-baru ini.

Erma berkata, beliau memilih untuk tidak membaca komen di media sosial kerana tidak mahu kecaman netizen memberi kesan kepada emosi dan semangatnya untuk terus berkarya.

“Saya tidak baca komen dan tidak peduli kerana saya ada matlamat serta misi menghasilkan naskhah dan mesej yang mahu disampaikan.

“Kecaman adalah makanan rutin orang seni. Buat baik pun kena kecam, buat jahat pun kena kecam, buat cerita bagus pun kena kecam, buat cerita tidak bagus pun kena kecam.

“Jika kecaman itu ada perkara baik yang boleh memberi manfaat, saya akan ambil dan jadikan pengajaran untuk memperbaiki diri.

“Tetapi kalau kecaman itu sekadar mahu mencetuskan kontroversi atau hanya sudut pandang tertentu, saya tidak baca pun,” katanya.

Dalam pada itu, Erma turut mengakui setiap kali drama terbitannya ditayangkan, kecaman pasti muncul dan baginya keadaan itu seolah-olah menjadi ‘kenduri’ buat netizen.

“Setiap kali drama saya keluar, memang akan ada ‘kenduri kecaman’. Bukan sahaja drama Walid, tetapi juga Bidaah, Keluarga Itu, Perempuan Itu, Lelaki Itu dan Jangan Panggil Aku Gus.

“Sekarang memang ‘bulan kecaman’, jadi saya tidak akan membuka media sosial.

“Saya juga tidak mahu merosakkan hati. Kalau saya baca komen, saya mungkin tidak dapat mengawal kemarahan dan menjawab dalam keadaan marah hingga akhirnya menjadi biadab.

“Jadi lebih baik saya tidak membaca komen,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here