Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
ROMPIN: Enam unit kedai separa kekal jenis teres musnah dalam kejadian kebakaran di Bandar Lama Kuala Rompin, malam kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima panggilan kecemasan pada 9.02 malam. Pasukan bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin digerakkan ke lokasi kejadian.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, berkata kebakaran membabitkan enam unit premis membaiki peralatan elektronik, kedai gunting rambut, kedai menjual buah-buahan, sebuah stor, dua kedai runcit dan tempat tinggal.
“Kebakaran menyebabkan empat premis musnah seratus peratus dan dua lagi premis 50 peratus musnah. Ketika kejadian terdapat 10 penghuni dewasa dan kanak-kanak dan semua mereka selamat,” katanya yang turut berada dilokasi kejadian.
Menurutnya, operasi pemadaman kebakaran turut mendapat bantuan daripada BBP Endau dan BBP Nenasi yang menggunakan beberapa aliran hos bagi memadam kebakaran, beberapa jentera digunakan untuk membantu dalam kerja-kerja pemadaman dan membekalkan air.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 11.50 malam dan operasi seterusnya melibatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi bahagian yang berisiko terbakar semula.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM,” katanya.
Beliau berkata, JBPM Pahang sentiasa mengingatkan orang ramai supaya memastikan aspek keselamatan kebakaran diberi keutamaan, khususnya di premis perniagaan dan bangunan yang mempunyai struktur binaan separa kekal.
IMedikel TV






