Glasgow: Emma Finucane muncul juara acara pecut wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023, awal pagi tadi menewaskan Lea Sophie Freidrich dari Jerman 2-0 dalam aksi final.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pelumba berusia 20 tahun dari Wales itu memenangi pusingan pertama di Velodrom Chris Hoy dekat Glasgow di depan 4,000 peminat selepas bermula dari belakang.
Dia kemudiannya mempimpin saingan pada perlumbaan kedua dan memecut jauh lebih awal meninggalkan Freidrich.
“Saya tidak percaya yang saya adalah juara dunia,” kata Emma.
Dia juga sudah memberikan fokus sepenuhnya kepada Sukan Olimpik tahun depan di Paris.
“Tahun ini cukup istimewa untuk saya tetapi masih banyak lagi yang perlu dicapai di Paris. Saya teruja untuk beraksi di sana,” katanya.
Ellesse Andrews dari New Zealand memenangi pingat gangsa mengatasi seorang lagi pelumba Jerman, Emma Hinze.
Sementara itu, Aaron Gate dari New Zealand memenangi perlumbaan mata 40km, 10 tahun selepas meraih gelaran dunia terakhirnya dalam acara Omnium.
“Saya menunggu 10 tahun untuk kemenangan ini, menjadikan ia sangat berbaloi,” kata pelumba berusia 32 tahun dari Auckland itu. – AFP, HMetro Online –
Imedikel TV






