Home Sukan EKY TEKAD LEDAK LEBIH BANYAK GOL

EKY TEKAD LEDAK LEBIH BANYAK GOL

149
0

SEREMBAN: Selepas sekadar bertindak sebagai pemain gantian dalam lima perlawanan awal Liga Super, penyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Mohamad Shahrel Fikri Md Fauzi, kembali mendapat perhatian sebaik diserapkan dalam barisan kesebelasan utama pasukan itu.

Dia yang mesra dengan panggilan Eky itu memanfaatkan peluang terbaik diberikan pengendali pasukan terbabit, P Maniam, apabila sudah meledak dua gol setakat ini masing-masing dalam pertembungan dengan Johor Darul Ta[zim (JDT) dan Negeri Sembilan.

Shahrel berkata, dia menggunakan dengan baik peluang diberikan Maniam apabila dapat berada dalam kesebelasan utama pasukan itu.

“Pada peringkat awal liga, saya diletakkan sebagai pemain simpanan kerana posisi utama milik pemain import, Prince Aggreh, namun dia mendapat tawaran untuk beraksi dengan sebuah kelab di Kuwait.

“Ketiadaan Aggreh membuka peluang kepada saya berada dalam barisan kesebelasan utama dan ia bermula pada pertembungan dengan JDT di laman sendiri pada 31 Julai lalu.

“Peluang itu digunakan dengan baik dan memang tekad saya untuk memberikan persembahan terbaik, ternyata ia membawa hasil apabila dapat menjaringkan gol dan membantu PDRM mencatat keputusan seri dengan JDT,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrel yang beraksi bersama Negeri Sembilan musim lalu dan berjaya meledak enam gol sepanjang musim, akui kini dia sudah mendapatkan rentak terbaiknya sebagai pemain penyerang.

Malah, pemain lincah kelahiran Perak ini berjaya membuktikan kehebatannya apabila dia menjaringkan gol pertama dalam pertembungan dengan skuad Hobin Jang Hobin di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad lalu, sekali gus membantu PDRM melakar kemenangan.

Bekas pemain kebangsaan berusia 29 tahun itu berazam untuk terus bekerja keras bagi memastikan prestasi terbaiknya kekal sehingga ke penghujung saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

“Saya akan terus berusaha untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan menjaringkan gol bagi membantu pasukan mendapatkan kemenangan dan seterusnya meraih pencapaian terbaik pada penghujung saingan nanti.

“Saya berharap tidak lagi berhadapan dengan masalah kecederaan pada masa hadapan untuk dapat fokus kepada saingan liga tempatan sepanjang musim,” katanya yang tidak menolak jika mendapat tawaran menyertai skuad Harimau Malaya.

Sementara itu, Maniam ketika ditemui di Seremban, Ahad lalu, menzahirkan rasa puas hati dengan prestasi dan komitmen Shahrel Fikri dalam dua perlawanan iaitu menentang JDT dan Negeri Sembilan.

“Saya berharap dia dapat kekalkan prestasi terbaik itu dan terus menjaringkan gol. Dia sendiri bagi tahu saya akan berusaha menjaringkan gol dalam pertembungan dengan KL City FC, Jumaat nanti,” kata Maniam. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here