Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Dua suspek yang ditahan berhubung kes penderaan seekor beruk yang tular baru-baru ini, disambung reman selama sehari di Mahkamah Majistret, Bachok, di sini, hari ini.
Perintah sambung reman terhadap dua suspek berusia 24 dan 28 tahun itu di buat di hadapan Majistret Amin Rashidi Ramli.
Mereka disambung reman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 kerana penderaan terhadap haiwan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan jelik melalui media sosial.
Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari yang berakhir hari ini.
Sebelum ini, tular rakaman video yang mencetuskan reaksi negatif serta kecaman netizen berkaitan seekor beruk ditampar, dirantai dan dipukul beberapa kali, kemudian dirakam oleh rakan pengadu sebelum dimuat naik ke platform media sosial.
IMedikel TV






