Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Polis menahan dua individu susulan penularan video memaparkan tindakan seorang lelaki memukul seekor beruk yang mencetuskan kecaman meluas di media sosial, termasuk di TikTok, Facebook dan Instagram.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati rakaman tersebut dirakam oleh rakan pengadu sebelum dimuat naik ke media sosial sehingga mencetuskan reaksi negatif dan kecaman warganet.
“Semakan juga mendapati pengadu tidak memiliki sebarang lesen atau permit sah daripada pihak berkuasa veterinar untuk menjaga atau melatih haiwan berkenaan.
“Berikutan itu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bachok telah menahan (2) orang saspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melakukan penganiayaan terhadap haiwan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan jelik dan ugutan melalui media sosial,”katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata susulan itu pihaknya membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
IMedikel TV





