Home Politik DOLAK DALIH KERAJAAN TERHADAP KEADILAN NAJIB ADALAH TIDAK ADIL

DOLAK DALIH KERAJAAN TERHADAP KEADILAN NAJIB ADALAH TIDAK ADIL

196
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: “Kerajaan yang bersikap dolak dalih terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak adil kerana ia menunjukkan kecenderungan menafikan hak rakyat,” kata Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, sebaliknya kerajaan perlu menegakkan prinsip keadilan serta hak-hak Perdana Menteri keenam itu sebagai seorang warganegara yang sah dipelihara mengikut peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.

“Muafakat Nasional meminta kerajaan memberi jawapan yang tuntas dan jujur berkenaan Titah Addendum oleh Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Abdullah semasa baginda menjadi Yang Di-Pertuan Agong.

“Kerajaan perlu ingat bahawa pengakuan atau penafian secara jelas mengenai kewujudan sesuatu titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong adalah satu tanggungjawab mandatori, bukannya ‘wewenang’,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Annuar berkata, hakikat bahawa Najib terpaksa ke mahkamah hanya untuk mendapat pengesahan kewujudan titah addendum diraja merupakan detik gelap dalam sejarah pentadbiran negara.

“Kebimbangan lebih besar jika bekas pemimpin negara yang partinya merupakan sebahagian dari kerajaan dan mempunyai kawan-kawan di dalam kabinet pun boleh ‘dianiaya’ dan dinafikan hak mendapat kebenaran, apa nasib rakyat biasa pada masa hadapan?.

“Ini bukan isu salah atau benar pertuduhan ke atas Najib, ini mengenai seorang bekas pemimpin negara dan rakyat Malaysia telah dinafikan hak untuk mendapat keadilan dan ini adalah usaha memperjuangkan prinsip kedaulatan undang-undang serta hak setiap individu mendapat keadilan.

“Di samping itu, ini juga merupakan satu perjuangan memastikan kedaulatan undang-undang terus dijunjung tinggi di negara kita,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, kepercayaan dan pegangan politik untuk bersolidariti dan menyokong Gerakan Solidariti Bersama Najib di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari depan.

“Kami menyeru semua pihak yang mendokong Perlembagaan, undang-undang serta prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menyatakan sokongan secara terbuka terhadap gerakan ini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here