Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyambut baik teguran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkaitan proses kelulusan bot kenka dan pertukaran zon dengan menyifatkannya sebagai asas penting untuk penambahbaikan tadbir urus serta pelaksanaan dasar perikanan negara.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussin dalam kenyataan memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelulusan yang bercanggah dengan dasar dan komited menyemak semula semua prosedur bagi memastikan ketelusan serta pematuhan.
“Teguran EAIC akan dijadikan panduan penambahbaikan. Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelulusan yang bercanggah dengan dasar. Kami komited untuk menyemak semula semua proses bagi memastikan ketelusan dan pematuhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Susulan teguran tersebut, DOF mengambil beberapa langkah segera termasuk menyemak semula semua kelulusan melibatkan bot kenka dan pertukaran zon, memperkemas garis panduan teknikal serta memperkukuh semakan silang dan audit dalaman.
Langkah itu, katanya, bertujuan menangani kelemahan secara sistematik dan berkesan agar pengurusan sumber perikanan negara kekal lestari, berintegriti dan memberi manfaat kepada komuniti nelayan serta negara.
Tambah beliau, sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan mengurus sumber perikanan, DOF akan terus memastikan kelestarian pengurusan melalui pendekatan berteraskan integriti dan akauntabiliti.
“Tindakan ini bertujuan memastikan sebarang kelemahan ditangani secara sistematik dan berkesan
“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan mengurus sumber perikanan negara, Jabatan bertanggungjawab memastikan sumber ini diurus secara lestari, berintegriti dan memberi manfaat kepada negara serta komuniti nelayan,”katanya.
DOF turut memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi penguatkuasaan lain bagi melaksanakan tindakan pembetulan secara menyeluruh, berpandukan dasar serta kepentingan negara.
IMedikel TV






