NEW YORK: Novak Djokovic mara ke separuh akhir Grand Slam ke-47 selepas mudah mengetepikan pemain tuan rumah yang juga pilihan kesembilan Taylor Fritz 6-1, 6-4, 6-4 di Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Djokovic meneruskan misi untuk melebarkan rekod 24 gelaran Grand Slam dalam saingan empat terakhir dengan menentang pilihan ke-10 Frances Tiafoe atau Ben Shelton juga dari Amerika Syarikat.
-ADVERTISEMENT-
Djokovic yang berusia 36 tahun mara ke separuh akhir di New York untuk kali ke-13 dan kini memegang rekod 12-0 ke atas pemain tuan rumah itu di Terbuka AS.
“Peluang terbesar setiap kali saya melangkah ke gelanggang pada usia ini, di peringkat ini dalam hidup saya,” kata Djokovic yang mengatasi rekod sebelum ini dipegang bersama Roger Federer sebagai pemain paling banyak beraksi di separuh akhir kejohanan utama.
“Saya tak tahu berapa banyak lagi peluang saya dapat, jadi saya cuba menikmati aksi sebaik mungkin.”
“Saya beraksi terlalu banyak perlawanan dan banyak aksi epik. Saya tak sabar menunggu beberapa hari lagi,” kata juara tiga kali Terbuka AS itu.
Djokovic yang akan merampas ranking nombor satu daripada Carlos Alcaraz minggu depan hanya selangkah lagi untuk mara di empat kejohanan utama pada tahun sama buat kali ketiga dalam kariernya. – AFP, HMetro Online –
Imedikel TV






