KUALA LUMPUR: “Saya berasa teruja dan hiba setiap kali membantu saudara baharu (mualaf) untuk memeluk agama Islam kerana percaya segala dosa mereka sudah digugurkan (diampunkan) Allah SWT seperti bayi yang baru dilahirkan,” kata pelakon, Diana Rafar, 43.
Memetik laporan harian Metro, Diana atau pemilik nama sebenar Adiana Abdul Rafar berkata demikian ketika diminta mengulas perkongsian videonya membantu seorang wanita mengucap dua kalimah syahadah di Instagram (IG) tular dan mencuri perhatian netizen di media sosial.
Diana berkata, dia selalu berasakan gelombang yang luar biasa setiap kali membantu saudara baharu memeluk agama Islam.
“Saya mula berasa takut dan cemburu kerana merasakan mereka sangat beruntung kerana sudah pasti Allah menghapuskan dosa mereka.
“Sebelum mengajar mereka lafaz kalimah syahadah, saya akan tanya kenapa dia nak peluk islam, apa yang dia rasakan dan adakah dia mengenali pencipta kita?
“Saya juga akan terangkan mengenai 99 nama Allah di mana semua nama Allah akan dapat membantu dalam perjalanannya selepas ini,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai perkongsiannya membabitkan saudara baharu yang meraih perhatian netizen itu, kata Diana, dia juga berbincang dengan pejabat agama berkaitan ‘posting’ nya untuk membantu mualaf itu.
“Ia atas dorongan dan galakan agar mereka yang mahu peluk agama islam lebih mudah melalui saya untuk dibantu.
“Selepas beberapa video yang saya muat naik mengenai saudara baru syahadah tular, saya juga dihubungi beberapa orang meminta bantuan saya untuk memeluk agama islam termasuk buat panggilan video.
“Semoga perkongsian video yang saya buat itu memudahkan mereka yang ingin memeluk agama Islam,” katanya.
Sementara itu, berkongsi pembabitannya dalam aktiviti membantu saudara baharu berkenaan, kata Diana dia sudah terbabit dalam aktiviti itu sejak 2020.
“Alhamdulillah, Allah SWT yang mendorong saya ke arah ini. Semuanya bermula pada 2020 di mana saya diberitahu Ustaz Firdaus ada wanita Mongolia mahu peluk agama Islam dan dia minta saya bantu dan lakukan di rumah.
“Pada masa itu, saya memang tak bersedia kerana takut, berdebar dan semua serba tak kena tapi akhirnya saya nekad untuk ambil peluang itu.
“Setakat ini, saya sudah membantu seramai tujuh orang saudara baharu untuk peluk agama islam. Tahun ini sahaja, ada dua orang,” katanya.
Terdahulu, perkongsian video Diana di IG miliknya sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila berkongsi momen menyentuh hati membimbing seorang wanita memeluk agama Islam dengan melafazkan dua kalimah syahadah. – HMetro Online –
IMedikel TV






