Home Buletin Semasa TKPM TELONG LOKASI PERINTIS PROJEK TANAMAN BAWANG NEGERI 2025

TKPM TELONG LOKASI PERINTIS PROJEK TANAMAN BAWANG NEGERI 2025

426
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

BACHOK: Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pertanian moden apabila terpilih sebagai lokasi perintis bagi Projek Tanaman Bawang Negeri 2025, yang dilihat mampu membuka lembaran baharu dalam usaha pengeluaran bawang secara komersial di Malaysia.

Memetik kenyataan UPKN, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata TKPM Telong mempunyai potensi besar untuk menjayakan projek strategik itu kerana dilengkapi infrastruktur lengkap serta sokongan logistik yang mantap.

“Kelantan memiliki tiga TKPM iaitu Telong, Lojing dan Batang Merbau yang secara keseluruhan menyumbang lebih 2,000 tan metrik hasil pertanian bernilai RM8.6 juta setahun.

“Kita yakin projek tanaman bawang ini akan mengurangkan kebergantungan kepada bawang import sekali gus membuka peluang lebih luas kepada usahawan tani tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Tanaman Bawang Negeri 2025 di TKPM Telong, di sini, pada Khamis.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan agensi-agensi pelaksana lain atas peranan penting mereka dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan projek berimpak tinggi itu.

Jelasnya projek tersebut akan menjadi model pengeluaran bawang tempatan secara komersial, sekali gus memperkukuh rantaian agromakanan negara pada masa akan datang, terutama dengan adanya komitmen tinggi daripada para peserta yang terbabit.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here