Home Sukan TANG JIE-EE WEI PERLU KAWAL KEKUATAN MENTAL

TANG JIE-EE WEI PERLU KAWAL KEKUATAN MENTAL

181
0

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran negara dilihat mampu meraih kejuaraan sekiranya dapat mengawal kekuatan mental ketika berdepan situasi penting yang menjadi penghalang utama buat mereka ketika ini.

Memetik laporan Harian Metro, ketua jurulatihnya, Nova Widianto berkata, beliau melihat setiap beregu campuran yang bersaing mempunyai peluang yang hampir sama, cuma yang membezakan mereka adalah bagaimana seseorang itu dapat mengawal gelanggang dengan baik tanpa sebarang tekanan tinggi.

Katanya, beregu keempat dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga memiliki peluang cerah untuk menjuarai kejohanan utama termasuk apabila berdepan beregu utama Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.

“Hampir setiap kejohanan mereka akan bertemu dan sudah pasti akan ada menang dan kalah. Dalam acara beregu campuran ini, kekuatan hampir sama dan jurangnya pun semakin kecil atau boleh dikatakan setaraf. Saya tengok siapa yang paling bersedia dari segi mental, dialah yang akan muncul juara.

“Jadi agak rugi sekiranya pasangan negara tidak memanfaatkan peluang ini untuk muncul juara dalam setiap kejohanan yang mereka sertai,” katanya.

Tambah Nova, situasi itu berbeza berbanding beberapa tahun lalu apabila hanya empat pasangan sahaja dilihat menguasai saingan peringkat antarabangsa.

“Dulu, apabila kita masuk kejohanan, hanya empat pasangan utama yang dominan dan agak berbeza kelas. Tapi sekarang, dalam kejohanan besar pun kita ada peluang untuk jadi juara. Pemain kena sedar dan manfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.

Setakat enam bulan pertama, Tang Jie-Ee Wei menunjukkan prestasi yang agak baik apabila berjaya mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali.

Namun, kegagalan mengawal tempo permainan termasuk tekanan di dalam gelanggang menyebabkan lawan berjaya mengambil kesempatan dan menyingkirkan mereka.

Untuk rekod, tahun ini mereka sudah berdepan Dechapol-Supissara sebanyak tiga kali dan hanya menang sekali dalam pertemuan itu.

Kali terakhir bertemu adalah di Terbuka Indonesia bulan lalu apabila mereka dikecewakan oleh wakil Thailand di separuh akhir. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here