KUALA LUMPUR: Pelakon Dayang Areeda berdepan pelbagai kecaman netizen gara-gara melakonkan babak ‘nasi kangkang’ yang dianggap memualkan dalam drama terbaharu berjudul Terjerat.
Bagaimanapun, Dayang menyifatkan babak dijayakan bersama Aliff Aziz itu sekadar lakonan dan hanya memenuhi tuntutan skrip bagi melengkapkan jalan cerita.
“Setiap babak mempunyai kekuatan termasuk watak Shasha yang cuba menundukkan Faliq lakonan Aliff dengan menggunakan sihir ‘nasi kangkang’.
“Babak ini bukan dibuat secara suka-suka, tapi boleh ambil daripada sudut pengajarannya. Dalam realiti masih terdapat individu terikat dengan amalan khurafat ini.
“Kita kena ambil iktibar berkenaan amalan mistik seperti ini yang masih wujud dalam dunia serba moden dan canggih,” katanya kepada BH Online.
Ditanya cabaran menjayakan babak yang disiarkan platform penstriman, iQIYI itu, Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Areeda Datu Abdul Razak berkata, dia agak malu kerana tidak biasa dengan adegan sedemikian.
“Mula-mula agak susah sebab saya tak tahu macam mana nak buat babak ini, tapi dibantu pengarah dan pelakon lain.
“Jujurnya, memang agak malu, tapi segala-galanya dipermudahkan. Terus-terang saya bukan takut hendak buat adegan ini kerana ia hanya lakonan, cuma bimbang orang salah tafsir.
“Selepas memahami tujuan babak ‘nasi kangkang’ ini memang perlu, saya teruskan sahaja bagi melengkapkan cerita,” katanya.
Terdahulu, menerusi video tular di aplikasi X, pelakon kelahiran Kudat, Sabah itu melakukan babak ‘nasi kangkang’ dengan sepenuh hati sehingga mengundang kebencian penonton.
Babak dilakonkan Dayang meraih lebih 400,000 tontonan dan ratusan komen di aplikasi berkenaan.
Selain Dayang dan Aliff, drama Terjerat arahan Azmi Hatta turut membariskan pelakon seperti Ruhainies, Fendy Bakry, Jaja Iliyes, Idzham Ismail, Erry Putra dan Amanda Misbun.
Dayang memulakan kerjaya lakonan dengan memegang watak pembantu dalam drama Kekasih Paksa Rela pada 2017. – BH Online –
IMedikel TV






