Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Dari tepi jalan ke kedai sendiri, perjalanan seorang wanita muda ini membuktikan bahawa usaha gigih mampu mengubah nasib apabila jualannya kini mencecah 300 kilogram colek buah setiap hari.
Suaibahtul Aslamiah, 27, kini mengusahakan kedai tetap miliknya, Colek Buah Kelate, yang terletak di Panji, di sini, selepas setahun berniaga secara jalanan.

Dia yang juga ibu kepada seorang anak berkata sambutan pelanggan amat menggalakkan hingga kadang-kala tidak menang tangan melayan permintaan.
“Alhamdulillah, colek buah ini jadi kegemaran ramai, mungkin sebab buah-buahan yang saya jual semuanya segar.
“Untuk colek buah, saya ambil stok sekitar 300 kilogram setiap hari dan biasanya habis dijual, manakala jeruk pula, sekitar 600 kilogram seminggu,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV, di sini, hari ini.
Katanya, bekalan buah-buahan segar diperoleh setiap pagi dari Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, manakala jeruk buah dibekalkan dari negeri luar.
Keistimewaan kedai itu terletak pada pilihan 12 jenis colek buah dan 16 jenis jeruk buah, yang sentiasa menarik minat pelanggan untuk mencuba.

“Colek di sini saya hasilkan sendiri menggunakan resipi ciptaan sendiri seperti colek nisey, gula lada merah, asam boi dan serbuk lada.
“Antara buah yang paling digemari ialah jambu madu, pauh lemak dan jambu batu, manakala bagi jeruk pula, buah salak, setol, celagi dan kelubi,”katanya.
Suaibahtul berkata, sebelum ini dia berniaga bersama ibunya sebelum mengambil alih sepenuhnya perniagaan itu.
Namun, perjalanan untuk bertapak sendiri bukan mudah apabila dia terpaksa berpindah lokasi beberapa kali bagi mencari kawasan strategik.
“Mula-mula memang susah sebab bila pelanggan datang ramai, kawasan parkir jadi terhad. Jadi saya cuba cari tempat yang lebih sesuai dan akhirnya kekal di Panji,” katanya.
Katanya colek buah dijual pada harga RM5 bagi satu cawan yang mengandungi tiga jenis buah pilihan dan RM10 untuk dua cawan, membolehkan pelanggan memilih semua jenis buah yang ada.
Suaibahtul turut bersyukur kerana perniagaannya kini mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, golongan dewasa dan warga emas.
Kedainya dibuka setiap hari mulai 7.30 pagi hingga 5 petang.
IMedikel TV






