Oleh: Afrizam Arif, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Ketua Isi Rumah (KIR) diseru mendaftar menerusi sistem e-Bencana bermula sekarang bagi persediaan kemudahan apabila mereka berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila berlaku banjir nanti.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Rohani Ibrahim berkata sistem tersebut bakal digunakan di PPS yang akan dibuka apabila berlaku banjir terutama melibatkan agihan bantuan.

Rohani berkata sejak beberapa minggu lepas, pihaknya memperkemas gerak kerja dengan mengadakan bengkel dimulakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti (Pasir Mas), Kelaboran (Tumpat) dan Gual Periok (Rantau Panjang) dan usaha itu akan diteruskan secara berfasa ke daerah yang berisiko banjir.
“Selepas berjaya membangunkan sistem aplikasi e-Bencana, kerajaan negeri terus mengorak langkah menyebarluas penggunaannya ke peringkat komuniti melalui program bengkel dan pelatihan bagi calon instruktur atau fasilitator (TOT).
“Ia sebagai langkah kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan memperkemas proses penyaluran bantuan ketika menghadapi bencana,” katanya.

Tambah beliau, selain penduduk pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh individu (NGI) yang akan terlibat dalam bencana juga disarankan untuk mendaftarkan persatuan mereka dalam sistem berkenaan.
Menurutnya pendaftaran melalui aplikasi berkenaan ia perlu diperluaskan ke setiap mukim menggunakan hebahan di masjid-masjid terutaman bagi kawasan yang terkesan banjir.
“Pengisian secara aktiviti praktik (hands-on) ini memberi pendedahan kepada peserta yang terdiri daripada penghulu, penggawa dan kakitangan Pusat Khidmat DUN mengenai panduan tentang penggunaan e-Bencana.
“Sistem e-Bencana ini telah dibangunkan untuk menguruskan maklumat bencana secara berpusat dan ianya tidak terhad kepada banjir sahaja, malah ketika bencana besar yang lain juga terpakai,” ujarnya.

Beliau berkata semua KIR di Kelantan diseru untuk membuat pendaftaran di dalam sistem e-Bencana menerusi di laman sesawang https://ebencana.kelantan.gov.my/daftar.php atau melalui telefon pintar dengan memasang aplikasi e-Bencana (Android) https://play.google.com/store/apps/details atau melalui telefon pintar dengan memasang aplikasi e-Bencana(IOS) https://apps.apple.com/…/e-bencana-kelantan/id1668059264
Katanya, bagi manual pengguna untuk rujukan melalui https://ebencana.kelantan.gov.my/portal/manual.pdf.
I Medikel TV






