Paris: China mencipta sejarah dalam acara terjun dengan memenangi kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan di Olimpik Paris 2024.
Namun mereka kini perlu lebih berwaspada dengan cabaran beberapa lawan terkuat mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana seluruh dunia semakin maju dalam darjah kesukaran terjunan.
Tiga daripada pemenang pingat emas China dalam acara individu mengekalkan gelaran yang pertama kali dimenangi di Tokyo pada 2021.
Quan Hongchan, selepas memenangi emas di Tokyo pada usia 14 tahun, memukau penonton di Paris dengan mata terjunan sempurna dalam final 10 meter (m) platform wanita dan mengalahkan rakan sepasukannya, Chen Yuxi.
Kedua-dua mereka yang bergandingan dalam acara 10m seirama turut memenangi emas dengan margin mata yang besar.
Cao Yuan yang berusia 29 tahun dan Xie Siyi yang berusia 28 tahun tidak mengecewakan negara mereka, walaupun rakan sepasukan melakukan kesilapan namun pasangan itu berjaya meneruskan rentak kemenangan dalam acara 10 meter platform dan 3 meter papan anjal lelaki.
Manakala Chen Yiwen, 25, yang membuat penampilan Olimpik pertama, meraih dua pingat emas dalam acara 3m papan anjal berirama dan individu.
“Saya rasa jika anda bertanya kepada sesiapa saja, mereka tahu bahawa China adalah yang terbaik dan mereka memenangi semua emas.
“Saya rasa itu mesti menjadi tekanan yang besar bagi mereka, tetapi untuk mereka yang merangkul bersih kesemua emas yang dipertandingkan dalam acara ini, pada pandangan saya, mereka memang layak meraihnya di setiap Olimpik,” kata Noah Williams dari Britain, yang mendapat tempat kedua dalam acara 10m platform berirama bergandingan bersama Tom Daley dan tempat ketiga dalam acara individu.
Cao ialah penerjun kedua China yang memenangi emas dalam empat temasya Olimpik berturut-turut selepas Wu Minxia, yang menggondol emas dari Athens pada 2004 hingga ke Rio de Janeiro pada 2016.
Dia juga adalah penerjun China pertama sejak Fu Mingxia memenangi kedua-dua acara 3m papan anjal dan 10m platform. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






