KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe menyifatkan kejayaan menewaskan Kedah Darul Aman (KD) 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam, sebagai salah satu persembahan terbaik Gergasi Merah.
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu bagaimanapun mengakui kesilapan individu dan hilang fokus menyaksikan pasukannya dibolosi serta hampir kehilangan dua mata penting.
Katanya, pemain Selangor juga harus mendapat pujian apabila berjaya bangkit selepas dua kali ketinggalan kepada skuad kendalian Nafuzi Zain sebelum meraih kemenangan untuk terus kekal di tangga kedua liga.
“Pada perlawanan ini pemain menunjukkan perwatakan dan semangat juang yang tinggi. Sudah pasti pujian harus diberikan kepada semua pemain.

“Sebagai jurulatih, saya lihat ini adalah salah satu permainan terbaik kami tunjukkan dan bukan mudah untuk menang kerana Kedah juga bermain dengan baik.
“Mereka (Kedah) memiliki barisan serangan yang bagus dan kombinasi berbahaya. Kami juga hampir dibolosi pada minit-minit akhir yang mana kita mungkin boleh kehilangan dua mata,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor mengumpul 28 mata selepas 12 perlawanan, namun ketinggalan lapan mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala KDA yang menghuni tangga kelima menghimpun 22 mata.
Sementara itu, Nafuzi pula menyifatkan Sang Kenari tidak patut kalah dalam perlawanan itu berdasarkan persembahan yang dipamerkan barisan pemainnya.
Malah, dia berkata bahawa kad merah yang diterima pemain pertahanan, Kamil Akmal Abdul Halim pada minit ke-76 memberikan kelebihan kepada Selangor untuk mencipta kemenangan.
“Walaupun ketinggalan, tetapi kami tetap memberikan aksi terbaik hingga wisel penamat yang mana kami juga mendapat peluang dan dari segi persembahan saya berasa kami tak sepatutnya kalah,” katanya.
Sumber BH Online
Imedikel TV






