LONDON: Bekas pertahanan England dan Liverpool, Jamie Carragher, mempersoalkan hala tuju Chelsea di bawah pemilik Todd Boehly dan pengendali baharu, Enzo Maresca.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian Kelab yang baru dinobatkan sebagai juara dunia itu membelanjakan sekitar 250 juta pound (RM1.4 bilion) bagi membawa masuk lapan pemain baharu pada musim panas ini.
Chelsea menjuarai Piala Kelab Dunia FIFA di Amerika Syarikat bulan lalu dan kembali ke saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas menamatkan kempen Liga Perdana di tempat keempat – pencapaian terbaik sejak pengambilalihan Boehly pada tahun 2022.
Namun, Carragher berpendapat Chelsea masih jauh untuk mencabar kejuaraan domestik dan menyifatkan pembinaan skuad semasa sebagai “tiada peningkatan ketara”.
“Iya mereka menang Piala Dunia Kelab – itu memang semua kelab besar mahu. Tetapi ia tak bermakna mereka makin dekat ke takhta Liga Perdana,” kata Carragher.
Antara pemain baharu yang dibawa masuk termasuk Joao Pedro, 60 juta pound (RM339 juta), Liam Delap, 30 juta pound (RM170 juta), Jorrel Hato – 37 juta pound (RM209 juta), Estevao Willian, 28 juta pound (RM158 juta), Dario Essugo, 18.5 juta pound (RM104 juta), Mamadou Sarr, 12 juta pound (RM68 juta) dan Jamie Gittens, 55 juta pound (RM310 juta).
Namun menurut Carragher, kehadiran mereka belum dapat dipastikan akan membawa perubahan diinginkan.
“Saya tahu Cole Palmer memang cemerlang. Tetapi ramai pemain lain seakan sama sahaja. Gittens masuk, Madueke keluar – tidak nampak peningkatan ketara,” katanya.
Madueke berpindah ke Arsenal dengan nilai perpindahan 52 juta pound (RM294 juta).
Sebahagian pemain baharu juga terus dipinjamkan ke kelab milik Chelsea di Perancis, Strasbourg, termasuk Sarr dan Kendry Paez.
Chelsea akan memulakan musim baharu Liga Perdana pada 17 Ogos dengan menentang Crystal Palace di Stamford Bridge. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






