Home Buletin Semasa CAKNA HAL ANAK ELAK PERKARA YANG TIDAK DIINGINI

CAKNA HAL ANAK ELAK PERKARA YANG TIDAK DIINGINI

360
0

Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV

KOTA BHARU: Tular di media sosial seorang remaja lelaki berkopiah berusia 13 tahun cuba menikam dan menyamun seorang pemandu e-hailing di Sungai Petani, Kedah, semalam.

Remaja terbabit berbuat demikian dipercayai tidak berpuas hati akibat dimaki dan meminta semula wang bayaran daripada pemandu itu.

Tindakannya menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang ramai kerana berani melakukan tindakan itu di usia yang masih muda.

Tinjauan I Medikel TV di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), di sini, bagi bertanyakan pendapat mereka berkaitan isu terbabit.

Siti Nor Atikah Azhar, 27, dari Kota Bharu, berkata, masalah itu bukan berlaku kerana kurangnya didikan agama daripada ibu bapa, namun ianya berkemungkinan kerana pengaruh rakan sebaya.

“Kita lihat pada zaman sekarang timbul pelbagai perkara yang mempengaruhi kanak-kanak, remaja termasuk orang dewasa, jadi dengan perkara yang tidak elok itu mereka mudah terikut dan berani untuk berbuat demikian,” katanya.

Atikah berkata, mereka perlu bijak dalam memilih rakan untuk bergaul agar tidak terpengaruh akan perkara yang tidak baik.

Peniaga, Shahrul Hakimi, 20, dari Pasir Mas, berkata, sebaik sahaja melihat video tular berkenaan, dia amat terkejut dan tidak menyangka remaja itu bertindak sebegitu semata-mata kerana duit.

“Remaja itu sepatutnya dihantar ke sekolah Henry Gurney bagi memberi pengajaran kepadanya dan remaja lain agar tidak melakukan perkara yang di luar batasan,” katanya.

Sementara itu, Razali Ismail, 66, berpendapat tindakan remaja itu juga boleh dikaitkan juga dengan kurangnya kasih sayang daripada ibu bapa dan terdesak kerana memerlukan duit.

“Sekarang ini ramai remaja yang terpengaruh dengan kes dadah, hal ini juga perlu diberi perhatian.

“Ibu bapa perlu mengambil perhatian kepada anak-anak dan cakna dengan siapa anak kita berkawan agar tidak terpengaruh dan terjebak akan masalah seperti ini,” katanya.

I Medikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here