Home Buletin Semasa BUDI95: RAKYAT MASIH KELIRU HARGA DI PAM TIDAK SAMA DENGAN HARGA BAYAR

BUDI95: RAKYAT MASIH KELIRU HARGA DI PAM TIDAK SAMA DENGAN HARGA BAYAR

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Walaupun kerajaan menetapkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter, sebahagian pengguna masih keliru apabila jumlah bayaran di pam tidak sama seperti yang diumumkan.

Tinjauan kru IMedikel TV mendapati, masih ada beranggapan harga minyak kekal rata untuk semua, sedangkan ia kini bergantung kepada kelayakan subsidi bersasar.

Seorang pesara swasta, Khaidzir Mahmood, 69, dari Pasir Mas berkata kekeliruan itu timbul apabila terdapat segelintir daripada mereka kurang kefahaman berkenaan isu itu.

“Sebenarnya mereka tidak faham dari segi subsidi dan harga jualan. Harga jualan ialah RM2.60 seliter.

“Harga subsidi pula dengan harga RM1.99 seliter. Sekarang ramai yang tidak faham sebab di pam stesen minyak tertera harga RM2.60. Jika kita melakukan pembayaran di kaunter beserta kad MyKad, harga itu tetap sama iaitu RM1.99,”katanya.

Menurut Khaidzir dia menyokong dan menerima secara positif pelaksanaan Kerajaan untuk kepentingan rakyat.

“Jangan sesekali politikkan sesuatu isu yang diberikan oleh Kerajaan. Kalau nak main politik, perlu bersikap secara matang.

“Kalau Kerajaan buat benda baik,kita sokong begitu juga sebaliknya, itu tiada masalah. Ini tidak, benda baik pun bangkang,ini benda baik untuk rakyat,”katanya.

Bagi seorang pelajar, Nurfatin Nazirah Mohd Adnan, 21, dari Kok Lanas, berkata pada awal penggunaan minyak bersubsidi RM1.99 seliter, dia agak terkejut apabila had harga yang dibayar di kaunter tidak sama yang tertera di pam.

“Mula-mula tu terkejut lah sedikit sebab contoh kita isi RM20 tetapi meter di pam tidak sama, dia jadi RM30 macam tu.

“Bagaimanapun saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana wujudkan BUDI95 kerana banyak membantu terutama pelajar seperti saya,”katanya.

BUDI95 adalah inisiatif subsidi bersasar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu.

Ia dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan secara mendadak.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here