KUALA LUMPUR: Naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39, Nadeera Zaini enggan ambil peduli berhubung dakwaan mengaitkannya dengan kes tangkapan khalwat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang hangat diperkatakan netizen, baru-baru ini.
Nadeera yang menciptakan kejayaan dengan lagu Bukan Lagi Kita, hanya menganggap ia isu picisan dan tidak perlu dibahaskan dengan lebih lanjut.
“Saya tidak mahu komen mengenai orang dan tidak mahu ambil tahu berkaitan orang itu (yang didakwa ditangkap khalwat). Kawan-kawan saya sangat sedikit, jadi saya tidak ambil pusing hal orang dan yang penting ia bukannya saya,” katanya ditemui sebaik berakhirnya Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 di Axiata Arena, Bukit Jali, malam tadi.
Berdepan kontroversi beberapa hari menjelang AJL 39, Nadeera bagaimanapun tidak menganggap ia dicetuskan pihak tertentu untuk menjatuhkannya.
Namun, penyanyi yang memulakan kerjaya muzik selepas menyertai musim kedua program Vokal Bukan Sekadar Rupa pada 2012 itu berkata, sekiranya ada yang berniat menjatuhkannya, maka individu itu perlu segera bertaubat.
“Kalau ini adalah ujian saya terima. Andai ada orang cuba jatuhkan saya, saya maafkan orang itu. Saya harap dia bertaubat apatah lagi hendak masuk bulan Ramadan.
“Sebulan ini memang saya betul-betul fokus terhadap apa ingin dilakukan di AJL 39. Saya tidak tengok media sosial dan semuanya diuruskan pasukan kerja.
“Pertama kali tahu mengenai perkara ini, saya buat tak tahu sahaja. Saya pun tak tahu kenapa nama saya dikaitkan,” katanya.
Biarpun berdepan kontroversi, ia sama sekali tidak mengganggu konsentrasi Nadeera untuk memberikan persembahan terbaik di pentas AJL 39 dengan mempertaruhkan lagu Bukan Lagi Kita.
Buktinya, Nadeera yang pertama kali bersaing di AJL, meraih gelaran naib juara, sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.
Lantunan vokal Nadeera ketika menyampaikan lagu Bukan Lagi Kita ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh di AJL 39 nyata memukau ribuan penonton.
Bukan itu sahaja, Nadeera tampil dengan konsep persembahan unik apabila menukar persalinan hitam kepada putih di tengah-tengah persembahan, sebelum diselubungi fabrik putih yang dijatuhkan dari siling, sebagai penutup persembahan. – BH Online –
IMedikel TV






