Home Sukan BENFICA BAWA PULANG BEKALAN BERHARGA

BENFICA BAWA PULANG BEKALAN BERHARGA

122
0

MONACO: Benfica membawa pulang bekalan berharga selepas menewaskan Monaco 1-0 dalam aksi pertama play off pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, awal pagi tadi, hasil jaringan Vangelis Pavlidis yang terus menyerlah dalam kempen Eropah musim ini.

Pavlidis, yang kini mengumpul enam gol dalam kejohanan, meledak jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-48 di Stade Louis II, sebelum Monaco berdepan kesukaran apabila Moatasem Al Musrati dilayangkan kad merah empat minit kemudian.

Benfica, juara dua kali Piala Eropah pada era 1960-an, kini memiliki kelebihan sebelum aksi timbal balik di Lisbon pada 19 Februari nanti, dengan pemenang pertemuan ini bakal berdepan cabaran getir menentang Liverpool atau Barcelona di pusingan 16 terbaik.

Kelab Portugal itu sebelum ini menang dramatik 3-2 di Monaco dalam saingan peringkat kumpulan November lalu, dan kali ini mereka bermula lebih baik apabila Pavlidis memanfaatkan hantaran di belakang pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Radoslaw Majecki dengan penyudah tenang.

Monaco terus ditimpa malang apabila Al Musrati menerima kad kuning kedua pada minit ke-52 selepas memprotes keputusan pengadil.

Pemain pinjaman dari Besiktas itu sekadar memberi isyarat meminta kad terhadap lawan, namun insiden itu menyaksikannya diperintah keluar padang.

Monaco, yang memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan ke atas Barcelona September lalu, kini berdepan tekanan selepas tewas empat daripada lima aksi terakhir di pentas Eropah.

Mereka tiada pilihan selain bangkit dalam aksi kedua minggu depan jika mahu menghidupkan peluang ke pusingan 16 terbaik. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here