Home Hiburan BELL NGASRI REDA JIKA TAK MENANG ABPBH 37

BELL NGASRI REDA JIKA TAK MENANG ABPBH 37

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Bell Ngasri, tidak menolak kemungkinan mengulang kejayaan menggenggam trofi Bintang Paling Popular seperti yang pernah dikecapinya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35.

Memetik laporan menerusi Berita Harian, namun, bagi Bell, kejayaan menempatkan diri dalam senarai Top 10 bagi dua kategori iaitu Artis Komedi Popular dan Aktor Pembantu Filem Popular pada ABPBH 37, sudah cukup membuatkan dirinya tersenyum lebar.

Bell atau nama sebenar, Nasrizal Ngasri berkata, peluang berada dalam kelompok terbaik selepas beberapa tahun bukanlah sesuatu yang mudah, justeru, dia menganggap pencalonan itu sebagai penghargaan besar daripada peminat.

“Alhamdulillah, masih disayangi, masih diterima peminat dan rakyat Malaysia. Saya sangat bersyukur kerana masih ada yang suka pada saya.

Apabila ada yang suka dan memberi sokongan, semangat untuk terus aktif dalam bidang seni pun semakin kuat,” katanya kepada BH Online.

Pelakon berusia 43 tahun itu bagaimanapun tidak menaruh harapan tinggi untuk membawa pulang trofi, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada rezeki.

“Ketika saya menang dahulu, saya tidak pernah berharap. Bagi saya, kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Orang ramai sudah undi saya sampai ke Top 10 pun saya sudah bersyukur,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Bell mengakui kini ramai artis baharu dan lebih popular yang turut bersaing dalam kategori sama.

“Saya sedar ramai artis lain yang meningkat naik dan ada pengaruh besar. Jadi, bagi saya, apa yang penting bukan siapa menang, tapi bagaimana kita kekal relevan dan terus bekerja dengan jujur,” katanya.

Menurut Bell, anugerah sememangnya mampu mengangkat nama seseorang selebriti, namun, dia percaya nilai sebenar seorang penggiat seni terletak pada kualiti kerja dan keikhlasan dalam setiap naskhah yang dihasilkan.

Tambahnya, jika seseorang pelakon benar-benar mahu dihormati, kejujuran dan kesungguhan dalam setiap watak itulah yang akan menjadi penanda aras sebenar,” katanya.

Bell ditemui pada sidang media siri terbaharu francais Hikayat, iaitu kisah legenda popular yang penuh unsur magis dan misteri bertajuk Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, siri enam episod arahan Shamyl Othman dan terbitan Red Communications Sdn Bhd itu bakal menemui penonton bermula 14 November ini di Astro Ceria.

Bell berkata, penyertaan dalam naskhah berunsur legenda itu membawa pengalaman baharu kepadanya, selain menguji kebolehannya menjiwai karakter dengan pendekatan berbeza. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here