SONGKHLA: Seorang lelaki berusia 30 tahun yang dituduh melepaskan tembakan ke arah sukarelawan yang menaiki jet ski bagi membantu mangsa banjir di daerah Hat Yai sudah ditahan, lapor Bangkok Post.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, dia didakwa atas kesalahan penggunaan senjata api secara haram, menurut Polis Wilayah 9 pada Isnin.
Lelaki yang dikenali sebagai Ruengchai itu menyerah diri kepada polis pada Ahad lalu dan menyerahkan pistol Glock yang dipercayai digunakan dalam insiden tembakan pada Selasa lalu.
Insiden tembakan itu berlaku di Sekolah Ban Koh Mee di daerah Hat Yai, dan Ruengchai adalah suspek pertama yang ditahan selepas laporan awal mengenai tembakan ke arah sukarelawan penyelamat.
Seorang sukarelawan jet ski memuat naik video dalam talian menyatakan bahawa dia terdengar tiga das tembakan yang dipercayai dilepaskan ke arah dirinya dan rakan sekerjanya sebelum mereka memutuskan untuk berundur ke pangkalan atas faktor keselamatan.
Terdapat spekulasi bahawa tembakan itu dilepaskan oleh penduduk yang terperangkap dalam banjir kerana terganggu dengan bunyi bising jet ski dan kemungkinan kerosakan akibat ombak besar yang dihasilkan.
Ruengchai mengaku melepaskan tembakan itu namun, dia menafikan menembak ke arah sukarelawan.
Katanya, dia melepaskan tembakan ke udara untuk menarik perhatian sukarelawan supaya dapat membantu dirinya dan jiran-jiran keluar dari kawasan banjir.
Dia juga menjelaskan bahawa dia tertekan ketika itu kerana terperangkap dan dikelilingi air banjir selama beberapa hari.
Menurut Pemangku Polis Mejar Jeneral Achan Chanthasiri dan Pemangku Polis Mejar Jeneral Wara Vejchapinan, suspek menyerah diri selepas polis memberi tekanan supaya tampil.
Ruengchai didakwa di Balai Polis Kho Hong atas tuduhan penggunaan senjata api secara haram dan perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan di khalayak ramai, yang boleh didenda sehingga 5,000 baht (kira-kira RM640) dan/atau dipenjara maksimum 10 hari, jika didapati bersalah.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






