Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sesi persekolahan diteruskan seperti biasa meskipun beberapa kawasan di Kelantan terjejas akibat banjir, namun bagi murid atau pelajar yang terjejas banjir dibenarkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelajar yang terkesan banjir termasuk yang tidak terbabit dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh meneruskan pembelajaran melalui PdPR tanpa sebarang halangan.
“Anak-anak yang tidak terbabit dengan SPM dan terkesan dengan banjir akan melalui pembelajaran secara PdPR.
“Tinjauan kita di sekolah menunjukkan kebanyakannya sudah melaksanakan PdPR,” katanya di sidang media selepas melakukan tinjauan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan PdPR tidak menjejaskan perjalanan peperiksaan SPM meskipun sekolah dijadikan PPS.
“Ia tidak mengganggu peperiksaan SPM dan juga mengganggu PPS. Mereka boleh meneruskan pembelajaran seperti biasa. Sekolah yang tidak terjejas pula beroperasi seperti biasa, asalkan pelajar hadir dengan berpakaian lengkap,” katanya.
Fadhlina turut memaklumkan bahawa mana-mana pelajar di mana-mana negeri yang terhalang kerana banjir dibenarkan terus mengikuti PdPR sehingga keadaan kembali pulih.
Dalam masa sama beliau turut menyuarakan kebimbangan khusus mengenai pelajar bukan asrama yang mungkin terkepung atau terputus akses untuk hadir ke pusat peperiksaan.
“Saya minta pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah bertindak pantas bagi memastikan anak-anak ini tidak terhalang ke pusat peperiksaan sekiranya laluan mereka terputus,” katanya.
”Namun, berdasarkan taklimat yang diterima daripada pelbagai agensi, semua pihak didapati sudah bersedia mengendalikan sebarang kemungkinan berdasarkan pengalaman banjir tahun-tahun sebelumnya.
“Secara keseluruhan, semuanya dalam keadaan baik. Kita berdoa semoga cuaca bertambah baik dan anak-anak tidak terhalang daripada mengambil peperiksaan kali ini, insyaAllah,” katanya.
IMedikel TV






