Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 pemilik kenderaan yang ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Presint 11, Putrajaya, kelmarin, masing-masing menerima bantuan RM1,000.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, banjir kilat tersebut berlaku disebabkan taburan hujan yang tinggi, iaitu tiga kali ganda dari taburan hujan yang biasa.
“Sejurus 15 minit selepas itu, saya dimaklumkan bahawa air telah pun mula surut. Alhamdulillah. Tetapi dilaporkan 20 kenderaan rosak kesan dari banjir kilat ini. Kawasan perumahan ini agak besar. Ada kira-kira 2,500 buah rumah, dengan anggaran penduduk sekitar 10,000 orang penduduk,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, semalam.

Menurut Dr Zaliha, punca banjir disebabkan kesan hujan lebat di bahagian hulu dan air telah naik dari Sungai Anak Gajah menyebabkan aliran air tersekat mengakibatkan air melimpah di kawasan yang lebih rendah.
“Kita telah pun mengenal pasti punca banjir tersebut berlaku iaitu kerana hujan yang lebat di bahagian hulu dan air telah naik dari Sungai Anak Gajah, menyebabkan aliran air tersekat mengakibat air tersebut overflow di kawasan yang lebih rendah ini,”katanya.
Tambahnya beliau turut meminta Perbadanan Putrajaya untuk menyelesaikannya dalam tempoh dua minggu.
“Selain itu, saya minta Perbadanan Putrajaya untuk menyediakan alert system dengan penggunaan siren dan amaran kepada penduduk di kawasan ini untuk alihkan kenderaan dengan segera.
“Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan Internet of Things (IoT) di mana sensor akan dipasang di petak-petak penyelenggaraan saliran di seluruh Putrajaya untuk mengesan tahap ketinggian air,”katanya.
Beliau berkata aliran air di kawasan perumahan itu menggunakan culvert system.
“Walaupun besar keluasannya, tetapi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, hujan yang lebat tiba-tiba menyebabkan ia tidak dapat menampung kapasiti air yang terlalu banyak.
“Jadi, untuk jangka masa panjang, kita bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat kembali sistem saliran ini. Jika didapati memang tidak dapat menampung, kita akan ambil tindakan menambahbaik bagi mengelakkan perkara yang sama berulang,”katanya.
Beliau juga berharap sistem yang lebih maju untuk pembangunan baru diteroka, seperti konsep sponge city, on-site stormwater detention (OSD) atau kolam takungan bawah tanah namun ia memerlukan kajian teliti sebelum dilaksanakan sebagai dasar baharu pembangunan di Putrajaya.
IMedikel TV






