Home Buletin Semasa BANJIR KIAMBANG SUSAHKAN PENDUDUK BERGERAK KE PPS

BANJIR KIAMBANG SUSAHKAN PENDUDUK BERGERAK KE PPS

Oleh: Afrizam Arif, Wartawan IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Kehadiran kiambang semasa musim tengkujuh di sepanjang jalan lama Padang Licin-Gual Periok menimbulkan rasa kurang selesa kepada penduduk kerana ia menutup laluan dan menyukarkan pergerakan mereka.

Penduduk Abdullah Awang, 63 yang dikenali sebagai Nik Pa berkata kehadiran kiambang semasa banjir tersebut sudah dialami sejak beberapa tahun lalu dan semakin banyak pada banjir kali ini.

“Banjir pada 23 Nov lepas iaitu sejak dua minggu lalu menyebabkan kiambang memenuhi jalan air dan mengganggu perjalanan kami untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

“Kiambang ini didapati hanyut dari Sungai Pengkalan Rakit dan menutupi air yang melimpah ke kawasan rendah melibatkan enam kampung berdekatan iaitu Kampung Padang Licin, Banggol Ubi Keling, Gual Periok, Pusar, Pengkalan Rakit dan Gual Ketereh,” katanya ketika ditemui di hadapan Masjid Darul Islah Mukim Padang Licin, Rantau Panjang di sini, hari ini.

Seorang wakil penduduk, Zamri Abdul Rahman, 33 dari Kampung Padang Licin berkata kiambang sebenarnya bunga yang cantik, tetapi apabila lama berada di tempat ini, ia lama-kelamaan akan mati dan menjadi busuk.

“Sekarang kiambang ini belum berbau busuk dan masih segar, tetapi lama-kelamaan ia menjadi mati seterusnya menjadi macam sampah, sekali gus mengganggu keindahan kawasan serta berlaku pencemaran alam persekitaran.

“Kewujudan kiambang banjir ini membimbangkan kami kerana bot enjin tidak boleh digunakan kerana kiambang boleh merosakkan bot tersebut, oleh itu kami hanya boleh menggunakan perahu sahaja,” katanya.

Menurut Zamri yang bekerja pembantu kedai makan di Kampung Kubang Bemban berkata jalan tersebut adalah sepanjang lebih 7 kilometer (km) boleh menghubungkan penduduk hingga ke Kampung Tersang, manakala kiambang ini memenuhi laluan sepanjang 2km setiap kali banjir di sini.

Zamri berkata sehingga kini penduduk tidak pernah membuat sebarang laporan ke mana-mana pihak kerana mereka tidak tahu kaedah untuk berbuat demikian.

“Saya mewakili penduduk di sini berharap ada pihak berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan datang membersihkan kiambang yang semakin banyak,” katanya.

I Medikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here