Home Politik ‘BANGUN DARI KEMALASAN DAN ‘TIDUR’, HENTIKAN PERBALAHAN – ANWAR

‘BANGUN DARI KEMALASAN DAN ‘TIDUR’, HENTIKAN PERBALAHAN – ANWAR

189
0

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan muda menghayati semangat hijrah Rasulullah SAW dengan bangun dari kealpaan termasuk menghentikan perbalahan untuk menjadi ummah yang hebat dan dikagumi.

Beliau berkata, kekuatan keyakinan akidah, nilai akhlak, serta dayang juang termasuk dalam mempertahankan hak, keadilan selain dari menolak penyelewengan, kezaliman, dan rasuah dalam masyarakat menjadi ramuan kejayaan Rasulullah SAW sebagai pemimpin ummah.

Katanya, sesuatu perubahan yang mahu dibuat mesti jelas mengenai apa sebenarnya yang diinginkan untuk terus maju, seperti hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang selain dari pedoman wahyu, ia turut disusuli dengan dukungan kelompok yang berdisiplin dan taat setia.

“Seperti yang disebut dalam al-Quran menerusi Surah Al-Muddassir, kita kadang-kadang lupa, leka, cuai, tidur. Maka bangun dari tidur, dari kealpaan kita untuk percaya, taat, tunduk kepada kekuatan serta kebesaran Allah SWT.

“Kalau yakin, yang harus kita lakukan (adalah) bersihkan diri kita dari gejala dan pengaruh yang merosakkan, baru boleh kita angkat martabat bangsa, negara kita, dan umat keseluruhannya. Bermula dari kita, kalau benar kita mahu maju, angkat martabat bendera kita iaitu iaitu pertamanya, bangun dari kemalasan dan ‘tidur’ kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penubuhan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia (PLG) di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Ssri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim; dan Presiden PLG, Datuk Abdullah Ghani Kassim.

Anwar turut berpesan dalam usaha mengangkat martabat bangsa sebagai bangsa yang hebat, perbalahan harus dihentikan dengan menggunakan semangat hijrah Rasulullah SAW.

“Dengan kudrat dan kuasa pada saya, saya akan pastikan baik PLG, atau Silat Gayong atau apa sahaja jentera yang boleh kukuh untuk angkat martabat bangsa sebagai bangsa yang hebat, maka hentikan perbalahan dan gunakan semangat hijrah ini.

“Ini masanya kita bangun sebagai satu kekuatan, tunjuk bangsa yang hebat itu bangsa yang mempunyai nilai, yang lebih berprinsip, bangsa yang kuat kerja, bangsa yang tegakkan keadilan bagi negara.

“Ingat dalam perjuangan ini ia persiapan, yang lalu Rasulullah mengirimkan dua tokoh iaitu seorang yang fasih Al-Quran manakala seorang lagi berupa memberi kefahaman dan pencerahan untuk masyarakat di Madinah kepada kehidupan yang baharu,” katanya. – Hmetro Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here